Mesir Larang Main Layang-Layang

Dianggap Ancam Keselamatan Negara, Mesir Haramkan Penduduknya Main Layang-Layang

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Mesir Haramkan Penduduknya Main Layang-Layang

Layang-layang antara permainan tradisional masyarakat dunia untuk mengisi masa lapang yang sehingga kini masih relevan dimainkan.

Bagaimanapun, bagi penduduk Mesir kini tidak boleh bermain layang-layang selepas pihak berkuasa di sana mengeluar perintah pengharaman atas sebab keselamatan dan amaran penggubal undang-undang bahawa ia boleh cetus ancaman keselamatan negara.

Polis Mesir dilapor mula bertindak tegas rampas layang-layang daripada penduduk tempatan yang menerbangkannya sejak minggu lalu, menurut media tempatan di sana.

Pihak polis menyita 369 buah layang-layang di sekitar ibu kota Mesir pada Jumaat lalu, lapor akhbar Al-Ahram, manakala Al-Youm berkata 99 buah layang-layang dirampas di Iskandariah.

Malah pihak polis turut denda seramai lima orang di bandar pelabuhan pinggir Laut Mediterranen yang juga popular dirujuk sebagai Alexandria itu sehingga cecah 1,000 pound (kira-kira RM267).

Mesir Larang Main Layang-Layang

Demi keselamatan rakyat

Langkah itu diperkenalkan demi memastikan keselamatan rakyat dijamin ekoran beberapa siri kemalangan babit layang-layang, kata Gabenor Iskandariah di laman sosial Facebook rasminya.

Usaha pengharaman yang agak pelik itu dibuat kerana panorama langit di Mesir penuh dengan ribuan layang-layang kertas berwarna-warni yang diterbangkan oleh belia dari bumbung rumah.

Hobi masa lapang tersebut bermula ketika pihak berkuasa lancar perintah berkurung sepanjang waktu malam untuk kekang penularan wabak COVID-19 di seluruh negara rantau Afrika Utara itu.

Permainan tersebut didakwa boleh menimbulkan ‘ancaman keselamatan negara’ kerana ada layang-layang mungkin dipasang dengan kamera pengawasan mini seumpama pesawat dron.

Namun, langkah kerajaan itu dikritik pelbagai pihak dan turut dijadikan bahan jenaka netizen tempatan kerana dianggap bukan keutamaan yang sepatutnya diberi perhatian berbanding masalah ekonomi rakyat.

BACA: Tak Semua Diberi Keistimewaan, Pelajar Malaysia Di Mesir Hadapi Masalah Bekalan Makanan

Sumber: Bebas News