Johor Catat Bilangan Hartanah Tidak Terjual Paling Tinggi Di Malaysia 1

Johor Catat Bilangan Hartanah Tidak Terjual Paling Tinggi Di Malaysia

Laporan Pasaran Hartanah 2018 yang dikeluarkan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) mendedahkan Johor memiliki jumlah hartanah kediaman tidak terjual tertinggi di Malaysia iaitu sebanyak 6,066 unit bernilai RM4.068 bilion.

BACA: Harga Hartanah Kediaman Dijangka Meningkat Sebanyak 8.6% Selepas Pandemik – Kajian

Sehingga suku pertama tahun ini, jumlah hartanah tidak terjual di Johor membabitkan kediaman, komersial dan industri sudah mencecah 51,459 unit dengan nilai RM36.754 bilion.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia Johor, Dzulkefly Ahmad berkata jumlah berkenaan merangkumi keseluruhan semua jenis hartanah tidak terjual dalam semua jenis bangunan yang siap dibina, dalam pembinaan dan belum dibina.

Johor Catat Bilangan Hartanah Tidak Terjual Paling Tinggi Di Malaysia
Sumber: CARI

Daerah Johor Bahru mencatatkan bilangan dan nilai harta tak terjual tertinggi iaitu 76.46% bagi harta kediaman, 99.7% bagi apartmen perkhidmatan, 65.11% bagi kedai dan 81.4% adalah harta industri.

Bagi harta kediaman, jenis kediaman teres dua hingga tiga tingkat mencatatkan bilangan harta kediaman tidak terjual tertinggi iaitu sebanyak 6,518 unit bernilai RM3.727 bilion.

“Ia diikuti kondominium atau apartment 5,643 unit bernilai RM2.640 bilion dan rumah teres dua hingga tiga tingkat berharga RM1 juta ke atas adalah kediaman tertinggi tidak terjual yang mewakili 50.3 peratus.

Manakala bagi kondominium atau apartment berharga RM600,000 ke atas adalah 60.8 peratus.”

Kenyataan yang dikeluarkan Dzulkefly adalah jawapan kepada pertanyaan Yeo Tun Siong (PH DAP-Pekan Nanas) pada Persidangan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-14 di Kota Iskandar di Iskandar Puteri pada 2 Julai lalu berkenaan tindakan kerajaan bagi mengatasi lambakan rumah tidak terjual di Johor yang semakin meruncing selain daripada senarai bilangan hartanah tidak terjual dengan nilai, lokasi dan jenisnya di negeri tersebut.

Bagi mengatasi masalah berkenaan, kerajaan negeri mengambil langkah seperti:

  1. Pemohon dikehendaki melampirkan borang had kelayakan pinjaman perumahan dari mana-mana bank atau institusi kewangan bagi mengatasi masalah pemohon tidak melepasi pembiayaan perumahan selepas tawaran rumah dikeluarkan.
  2. Pemohon juga dikehendaki melampirkan penyata simpanan kewangan yang mempunyai sekurang-kurangnya 10% daripada harga rumah yang dipohon.
  3. Projek-projek yang masih berbaki atau belum habis ditawarkan akan dibuka untuk jualan secara langsung oleh Setiausaha Kerajaan Johor (SUKJ) Bahagian Perumahan meliputi sama ada lot Bumiputera mahupun Rumah Mampu Biaya Johor bagi kemudahan penawaran secara terus kepada pemohon (memenuhi syarat kelayakan sebagaimana yang ditetapkan) yang berminat untuk projek berkenaan.

Sumber: Harian Metro