Imigresen Buru Warga Bangladesh Al Jazeera

Lelaki Warga Bangladesh Dalam Dokumentari Kontroversi Al Jazeera Kini Diburu Imigresen

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) memohon bantuan orang awam menjejaki seorang lelaki warga Bangladesh dikenali sebagai Md Rayhan Kabir bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Imigresen dalam kenyataannya, memaklumkan lelaki berusia 25 tahun itu menggunakan pasport bernombor BW0974403 dengan alamat terakhir di Sirhan Legacy Sdn Bhd B-7-9, Menara Uncang Emas, No 85 Jalan Loke Yew 55200, Kuala Lumpur.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan dipohon supaya dapat menghubungi Penolong Pengarah Imigresen (PPI) Nurulmasha Nazlinan Hussin di talian 03-88801298 / 1294 pada waktu pejabat dan Bilik Gerakan 03-88801555 selepas waktu pejabat.

Rayhan diburu bukan sahaja Imigresen, malah netizen juga kerana mengeluarkan kenyataan yang memburukkan imej negara dalam soal pengawalan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Dia dikesan membuat pelbagai dakwaan palsu berhubung layanan pihak berkuasa Malaysia kepada pendatang tanpa izin ketika negara ini menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membanteras penularan COVID-19.

Rayhan melemparkan tohmahan dan dakwaan tidak berasas itu menerusi kenyataan diberikannya kepada stesen televisyen antarabangsa, Al Jazeera, yang membuat laporan khas berhubung pendatang tanpa izin di negara ini.

Polis juga dilaporkan memulakan siasatan terhadap Al Jazeera susulan penyiaran dokumentari itu yang antara lain mendakwa layan buruk Malaysia terhadap warga asing ketika berusaha mengekang penularan COVID-19 menerusi langkah PKP.

Sementara itu, Malik Streams Production & Distribution Sdn Bhd menafikan Rayhan Kabir sebagai kakitangan syarikat mereka.

Pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap lelaki itu selepas dilihat mencemarkan nama dan reputasi syarikat kerana mendakwa sebagai Ketua Pemasaran syarikat produksi itu.

Menurut syarikat terbabit, Rayhan pernah memberikan perkhidmatannya sebagai kontraktor tetapi tidak pernah menjadi pekerja.

Imigresen Buru Warga Bangladesh Al Jazeera

“Kami terkejut dengan kenyataan Rayhan menerusi Facebook yang mendakwa beliau adalah ketua pemasaran di syarikat ini.

“Pihak syarikat secara mutlak sama sekali tidak setuju dengan kenyataan Rayhan terhadap negara tersayang Malaysia.

“Kenyataan Rayhan adalah berat sebelah dan tidak menggambarkan pandangan serta prinsip syarikat,” katanya.

BACA: Kerajaan Minta Al-Jazeera Mohon Maaf, Cabar Kemuka Nama Negara Beri Kebebasan Kepada PATI

Sumber: BH