Penerbangan Palsu Mengidam Travel

Syarikat Ini Sediakan Perkhidmatan Penerbangan Palsu Buat Mereka Yang Mengidam ‘Travel’

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Akibat pandemik COVID-19 yang masih lagi melanda dunia, jadual penerbangan keluar masuk negara dibatalkan bagi mengekang jangkitan penyakit berkenaan sehinggalah keadaan kembali pulih.

Tidak dinafikan ada individu mempunyai perangai pelik dan keinginan pelik yang mana mereka tidak suka berada di rumah. Kalau boleh, setiap masa nak ada dekat tempat lain atau berada dalam kapal terbang.

Mengambil kesempatan kepada mereka yang berkeinginan luar biasa dan dalam masa yang sama untuk menjana semula ekonomi, satu pakej menarik ditawarkan oleh China Airlines dan EVA Air kepada mereka yang mengidam untuk melancong, iaitu dengan melakukan penerbangan palsu.

Menurut Daily Star, pakej penerbangan palsu itu ditawarkan di Taipei dengan proses bermula daripada membeli tiket, memeriksa barang, duduk atas kapal terbang untuk tempoh dua jam bagaikan departure dan seterusnya arrival.

Mereka yang sudah membeli tiket akan melalui pos keselamatan dan imigresen bagi pemeriksaan bagasi. Kemudian, penumpang akan masuk ke dalam pesawat sambil disambut oleh pramugari, sama seperti penerbangan biasa.

Penumpang akan diarahkan ke tempat duduk mereka dan menikmati masa untuk berehat. Tetapi dalam penerbangan palsu ini tidak disediakan perkhidmatan makanan dan minuman sebaliknya, penumpang bebas mengambil gambar di pesawat seolah-olah sedang terbang.

Penerbangan Palsu Mengidam Travel
Sumber: Daily Star

Pesawat yang menyediakan perkhidmatan penerbangan palsu ini tetap berada di kawasan lapangan terbang selama dua jam.

Wakil Pengarah Bandara Taipei Songshan, Chih-ching Wang berkata, ramai tidak berpeluang melancong keluar negara. Justeru, perkhidmatan disediakan ini mampu memberi pengalaman berbeza sambil mempelajari lebih lanjut mengenai proses penerbangan.

Tertanya juga adakah ramai yang mengikuti penerbangan palsu ini? Sejak ia dijayakan bermula 4 Julai dan dijadualkan seterusnya pada 7 Julai di lapangan terbang Taiwan, sudah beribu orang telah ‘menempah tiket’.

Menarik juga idea ini kan? Bolehlah tolong ‘merawat’ mereka yang suka berada di dalam kapal terbang.

BACA: Bila Sebenarnya Selamat Untuk Melancong? Mungkin Pada 2023 – Kajian

Sumber: Daily Star