
KKM, NGO Sanggah Laporan Negatif Al-Jazeera, Sengaja Jejaskan Imej Malaysia
Dokumentari berdurasi kira-kira 26 minit yang diterbitkan agensi berita antarabangsa Al-Jazeera, yang menuduh Malaysia mengamalkan perkauman dalam menangani isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ketika COVID-19 adalah dakwaan liar dan tidak betul.
Menurut Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata laporan dokumentari itu tidak benar kerana kerajaan sedaya upaya menyelamatkan negara daripada penularan COVID-19.
Katanya, saringan yang dijalankan adalah antara tindakan mengawal penularan jangkitan wabak itu. Tindakan yang diambil kerajaan, selaras Akta 342 dalam menangani jangkitan global virus maut itu dalam kalangan warga asing.
Dr Adham berkata, isu berkenaan perlu diperbetulkan kerana ia membabitkan imej negara.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan dokumentari Al Jazeera bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ yang antara lain mendakwa berlaku isu perkauman dalam mengendalikan COVID-19.
Tambahnya kerajaan menerusi Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengetuai Mesyuarat Khas Menteri-Menteri boleh memain peranan untuk memperbetulkan dakwaan itu.
Menyanggah laporan Al Jazeera tersebut, beberapa NGO menyokong tindakan kerajaan terhadap PATI semasa tempoh PKP.
Pengerusi Badan Bukan Kerajaan (NGO) Antarabangsa Datuk Dr Mustapha Ahmad Merican memberitahu Bernama, kenyataan Malaysia tidak bersimpati terhadap PATI adalah salah sebaliknya mereka dilayan baik.
Mustapha berkata, jika tidak disekat ketat, dibimbangi pandemik itu merebak.
Malah, menurut beliau kerajaan memperuntukan perbelanjaan besar menanggung kos menjaga PATI termasuk penyediaan makanan, tempat tinggal dan rawatan kesihatan semasa PKP.
Setakat artikel ini ditulis, video yang disiarkan di saluran rasmi Youtube Al Jazeera English telah ditonton lebih 518,000 orang.
Video tersebut menerangkan PATI selama bertahun-tahun telah melakukan kerja berbahaya dan kotor untuk Malaysia.
Namun ketika PKP mereka kononnya terpaksa hidup dalam ketakutan dan dipaksa tinggal dalam keadaan yang sempit, ada yang terpaksa berlapar dan bergantung kepada sumbangan amal untuk hidup.
Susulan itu, netizen juga mengadakan petisyen agar agensi berita Al-Jazeera membuat permohonan maaf atas kesalahan menyebarkan berita tidak benar dan juga meminta SKMM mengambil tindakan.
Untuk rekod, ia bukan pertama kali media antarabangsa itu melaporkan cerita seumpama itu tanpa mendapatkan maklumat tepat daripada sumber sebenar atau boleh dipercayai.
BACA: AJ+ Salahkan Malaysia Kerana Tidak Mahu Terima Pelarian Rohingya
Trending now



