
Status Jenama Harumanis Perlis, Ini Penjelasan Daripada Pihak MyIPO
Ketegasan Perlis dalam mempertahankan status jenama harumanis sebagai ikon negeri Perlis menjadi perdebatan hangat netizen sejak dari minggu lalu.
Ketika itu Pengerusi Persatuan Pengusaha Harumanis Perlis, Datuk Hashim Suboh memberitahu setakat ini tiada mana-mana pihak diizinkan untuk menggunakan jenama Harumanis untuk produk mereka.
Larangan tersebut adalah bertujuan mengelakkan kekeliruan pengguna terhadap produk Harumanis Perlis dengan produk mempelam yang diusahakan di negeri lain.
Jelas dengan kekeliruan orang awam, MyIPO menerusi satu hantaran di Facebook telah menjelaskan isu berkenaan.
Menurut MyIPO, mangga Harumanis Perlis telah didaftarkan sebagai Petunjuk Geografi di bawah Akta Petunjuk Geografi 2000 oleh Jabatan Pertanian Negeri Perlis pada 2 Ogos 2011 dan Harumanis Perlis bukanlah jenama yang telah didaftarkan sebagai cap dagangan (trademark) seperti ditularkan.
Berbeza dengan pendaftaran cap dagangan, pendaftaran Petunjuk Geografi tidak memberikan hak eksklusif kepada pemilik secara individu sebaliknya memberikan hak penggunaan kepada semua pengeluar yang menghasilkan produk yang menepati kriteria dan ciri-ciri yang didaftarkan.
Bagaimanpun hak penggunaan hanya terhad kepada pengeluar-pengeluar yang menghasilkan atau mengeluarkan produk berkaitan dalam kawasan yang dinyatakan dalam pendaftaran.
Ini bermakna harumanis yang ditanam di Perlis sahaja yang berhak menggunakan nama Harumanis Perlis dan harumanis yang dikeluarkan di luar negeri Perlis langsung tidak dibenarkan menggunakan nama Harumanis Perlis.
Bagaimana pula dengan perkataan Mangga Harumanis?
Sejak sekian lama penanam-penanam magga di Perlis menggunakan nama harumanis bagi mangga klon MA 128 yang ditanam. Disebabkan harumanis diterima secara meluas dan sentiasa dikaitkan dengan mangga yang ditanam di Perlis. Atas sebab inilah Jabatan Pertanian Negeri Perlis telah mengambil inisiatif mendaftarkannya sebagai Petunjuk Geografi Mangga Harumanis Perlis.
Jika ada pihak yang mengelirukan orang ramai dengan menggunakan jenama ini untuk tujuan keuntungan, maka pihak berkepentingan seperti Persatuan Pengusaha Harumanis Perlis berhak dan boleh mengambil tindakan mahkamah untuk menghalang dan menuntut ganti rugi ke atas pihak berkenaan.
Sekiranya dahulu buah mempelam harumanis hanya boleh didapati di Perlis sahaja, kini buahan yang menjadi kegilaan ramaisudah boleh didapati di negeri lain seperti Terengganu, Kelantan dan Kedah.
Sumber: MyIPO
Trending now



