
Bukan Broga Sahaja, Dua Bukit ‘Hiking Spot’ Ini Juga Akan Ditutup Tapi Bukan Kerana COVID-19
Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan perintah penutupan kawasan pendakian Bukit Broga, Selangor bermula Sabtu ini sehingga satu tempoh yang dimaklumkan kemudian.
Penutupan kawasan pendakian itu dibuat selepas melihat tiada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan di kawasan berkenaan pada Sabtu lepas.
https://www.facebook.com/odisimy/posts/1958827254250481
Bagaimanapun, terdapat dua lagi kawasan pendakian yang popular dalam kalangan pendaki di Lembah Klang mungkin akan menerima nasib yan sama sama.
Dua buah kawasan tersebut ialah hutan Taman Saga (Bukit Saga) di Ampang dan hutan Taman Bukit Hatamas di Cheras.
Namun, difahamkan penutupan tersebut bukanlah berpunca daripada isu para ‘hiker’ sesak di kawasan pendakian ataupun berlaku kes COVID-19 dalam kalangan mereka.
Memetik laporan Awani, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bercadang menutup kawasan hutan berhampiran Taman Saga dan Taman Bukit Hatamas sekiranya kes malaria di kedua-dua kawasan itu meningkat dengan mendadak.
Yang Dipertua MPAJ, Datuk Abdul Hamid Hussain berkata, setakat ini pihaknya masih memantau keadaan tersebut dan ia bergantung kepada jumlah kes dicatatkan dalam masa terdekat.

“Kami kini sedang lihat perkembangan kes, kalau lihat kes semakin bertambah, kita akan usahakan untuk yang utama sekali, kita tidak mahu orang luar atau orang tempatan masuk ke dalam hutan berkenaan (berhampiran taman tersebut).
“Sekarang ini kita sedang cuba buat halangan dari orang ramai daripada memasuki hutan itu kerana nyamuk itu berada dalam hutan dan kawasan pembinaan itu,” katanya.
MPAJ juga sudah menaikkan kain rentang di sekitar kawasan tersebut bagi memberi kesedaran dan maklumat kepada penduduk. Mereka juga telah membuat kawalan di kawasan berkenaan selain membantu dalam aktiviti semburan kabus (fogging).
Sebuah akhbar tempatan pada Khamis melaporkan seramai 600 isi rumah dari dua kejiranan tersebut menjalani ujian darah selepas 14 kes malaria dikesan di kawasan berkenaan.
Menurut laporan itu lagi, Abdul Hamid dilaporkan berkata ujian pengesanan kes malaria kepada penduduk kawasan itu dijalankan sejak Isnin.
Sumber: Awani
Trending now



