
Demi Pastikan Kenangan Tercipta, Sekolah Ini Adakan Majlis Konvokesyen Pandu Lalu
Majlis konvokesyen pandu lalu.
Penularan wabak COVID-19 yang berlaku di seluruh negara membuatkan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di sini mengambil keputusan untuk menangguhkan majlis konvokesyen untuk tahun ini sebagai langkah berjaga-jaga walaupun kes menunjukkan penurunan.
Jika di Jepun, universiti di sana menggunakan pendekatan kreatif dengan memilih robot sebagai pengantaraan bagi menggantikan graduan pada majlis konvokesyen. Robot itu memakai jubah dan topi graduasi mempunyai skrin paparan yang menunjukkan wajah graduan dan tangan yang bersedia menerima sijil bagi pihak graduan.
Bagaimanapun, sebuah sekolah swasta di Bangalore, India tetap mengadakan majlis konvokesyen yang dihadiri pelajar sendiri tetapi dengan pendekatan unik.
Para pelajar Canadian International School (CIS) lengkap dengan persalinan jubah dan topi konvokesyen menaiki kenderaan masing-masing untuk meraikan tamat pengajian.
Pandemik COVID-19 tidak menghalang pengurusan sekolah swasta terbabit mengambil pendekatan unik dengan mengadakan majlis konvokesyen pandu lalu. Majlis itu dimuat naik di Facebook (FB), pertama kali diadakan pada Jumaat, demi memastikan pelajar sesi 2020 mempunyai kenangan konvokesyen.
Hindustan Times melaporkan, majlis itu berlangsung meriah dengan pelajar masuk bersama guru ke kawasan padang kampus CIS menaiki kenderaan masing-masing.
“Hari ini CIS buat julung kalinya menganjurkan majlis konvokesyen pandu lalu. Graduan dan ibu bapa memandu masuk ke padang bola dan setiap kali kenderaan lalu, guru akan meraikan mereka dan menyerahkan sijil.
“Majlis graduasi tahun ini bertemakan ‘Kita cari jalan atau membuatnya’ benar-benar bersinar!” kata kenyataan sekolah itu di Facebook.
Hantaran itu disertakan gambar gambar menunjukkan kemeriahan majlis dan kegembiraan pelajar yang tamat pengajian. Majlis terkawal dengan masing-masing mengekalkan langkah pencegahan COVID-19.
https://www.facebook.com/media/set/?set=a.3294458750578706&type=3
Selain ucapan tahniah kepada pelajar, ramai yang menzahirkan kekaguman kepada pengurusan sekolah atas penganjuran majlis sebegitu.
Menarik juga pendekatan yang digunakan sekolah swasta ini. Mungkin boleh jadi panduan kepada sekolah atau universiti di luar sana.
Sumber: Hindustan Times
Trending now



