Malaysia Berdepan Cabaran Baharu Perangi COVID-19 Dalam Kalangan Warga Asing

Malaysia Berdepan Cabaran Baharu Perangi COVID-19 Dalam Kalangan Warga Asing

Malaysia berdepan cabaran baharu dalam memerangi COVID-19 iaitu peningkatan jumlah kes COVID-19 dalam kalangan warga asing beberapa hari ini. Peningkatan yang melangkaui unjuran Institut Kesihatan Negara (NIH) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

BACA: COVID-19: Malaysia Tak Mungkin Akan Ikut Jejak Singapura, Ini Sebabnya

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata peningkatan ketara dapat dilihat sejak 29 April lalu di beberapa Depoh Tahanan Imigresen dan pekerja asing pelbagai sektor dalam komuniti selain daripada kes import dari luar negara.

“Namun, golongan bukan warganegara tidak harus disisih dan tidak harus distigmakan oleh rakyat Malaysia, malah kita perlu membantu mereka yang secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan penularan COVID-19 di negara ini.”

Memerlukan kerjasama semua supaya apa yang ingin dilakukan kerajaan dapat dicapai secara menyeluruh, beliau turut menyentuh mengenai masalah penginapan pekerja asing yang sempit dan sesak perlu diselaraskan dengan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) supaya jangkitan COVID-19 dan penyakit berjangkit lain tidak menular.

Rasuah Pekerja Asing Malaysia

Majikan perlu bertanggungkawab memberi pendidikan kepada pekerja bukan warganegara mengenai amalan kebersihan bagi memutuskan rantaian COVID-19 selain daripada memastikan kediaman pekerja mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang mengamalkan penjarakkan sosial dan kebersihan.

Manakala bagi jumlah kes harian COVID-19 dalam kalangan rakyat Malaysia sejajar dengan unjuran kes dalam permodelan NIH menggambarkan keberjayaan pelaksanaan kerajaan serta kepatuhan rakyat terhadap SOP yang diaturkan kerajaan.

Semalam, genap 30 hari Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dilaksanakan di Malaysia menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membolehkan sebahagian sektor ekonomi dan sosial dibuka secara terkawal dan berhati-hati.

Sebelum ini,  seorang pakar kesihatan awam, Dr Rafdzah Ahmad Zaki dari Universiti Malaya menjelaskan Malaysia tidak mungkin berdepan situasi seperti Singapura kerana pekerja asing di Singapura mempunyai kontak yang lebih besar dengan masyarakat umum kerana lokasi asrama berada dalam sempadan bandar, berbeza dengan Malaysia yang mana pusat imigresen jauh dari pusat bandar dan tahanan hampir tiada kontak dengan komuniti lain.

Sumber: Berita Harian,