Tekong PATI Seludup

Tekong Bawa Masuk 250 PATI Setiap Bulan, Terima Bayaran RM750 Seorang Sejak Dua Tahun Lalu

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Agak terkejut apabila didapati betapa ramainya pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini selepas kebanyakan kes positif COVID-19 meningkat berpunca dalam kalangan mereka di Depot Tahanan Imigresen (DTI).

Sementara kerajaan mengumumkan akan menghantar pulang PATI bagi fasa pertama bermula pada 6 Jun dengan membabitkan 450 warga Indonesia yang berada di depot imigresen, pihak polis telah mengesan sindiket penyeludupan PATI ini.

Memetik laporan Berita Harian, sindiket penyeludupan PATI dikesan mengaut hasil lumayan apabila meraih RM5.43 juta hanya dalam tempoh dua tahun dan lima bulan aktif beroperasi.

BACA: Kerajaan Tak Akan Tunduk Pada Sebarang Desakan Berhubung Isu Pengendalian PATI – Ismail Sabri

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata pendapatan lumayan itu menyebabkan sindiket penyeludupan PATI didalangi rakyat tempatan dan Indonesia terus berani mencabar undang-undang dan kedaulatan negara.

Menurut Ketua Polis Johor, hasil operasi membawa penangkapan tiga tekong membabitkan seorang rakyat tempatan dan dua warga Indonesia berusia antara 30 hingga 52 tahun selain tujuh migran warga Indonesia berusia antara 19 hingga 38 tahun.

Tekong PATI Seludup

“Seorang tekong warga Indonesia dari Lombok yang berusia 47 tahun turut mengaku berjaya menyeludup kira-kira 250 PATI setiap bulan dengan bayaran RM750 seorang sejak aktif bermula pada 2018 lagi,” katanya.

Dalam tiga serbuan yang dibuat, polis merampas sebuah kereta Proton Saga, 30 telefon bimbit, wang tunai RM990, selain mata wang Rupiah sebanyak 755,000 (RM224.44).

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana, seramai 82 tekong serta 149 PATI telah ditahan. Bayangkan, berapa banyak sudah anggaran pendapat yang diterima pengkhianat negara ini setiap bulan jika mereka masih bebas.

Dalam pada itu, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan PATI boleh menghubungi Bilik Gerakan Kontinjen Johor di talian 07-2254074.

Sementara itu, fasa kedua penghantaran pulang akan melibatkan 2,623 pendatang tanpa izin dalam masa dua bulan.

Manakala Kementerian Luar dan Jabatan Imigresen juga sedang berbincang dengan Kedutaan Nepal dan Bangladesh mengenai penghantaran pulang 246 orang warga Nepal dan 2,476 orang warga Bangladesh.