Rusuhan Di AS George Floyd

Kematian Lelaki Kulit Hitam Dalam Tahanan Polis Punca Berlaku Rusuhan Berterusan Di AS

Ribuan penunjuk perasaan berhimpun di Minneapolis, Amerika Syarikat (AS) untuk menuntut bela atas kematian seorang lelaki kulit hitam tidak bersenjata yang menjadi korban tindakan kekerasan anggota polis kulit putih telah mencetuskan beberapa kejadian rusuhan keganasan.

Beberapa pendemo menyerang rumah anggota polis yang didakwa membunuh George namun mereka tidak dapat berada lebih dekat kerana rumah tersebut dikawal puluhan anggota polis.

Berikutan tunjuk perasaan itu, polis bertindak melakukan sekatan di sekitar Presint Tiga, iaitu lokasi anggota polis berkenaan didakwa membunuh mangsa.

Pihak polis turut memberi amaran supaya penunjuk perasaan segera berundur berikutan makin ramai menyertai perhimpunan.

Pada hari sebelumnya, polis menembak peluru getah dan gas pemedih mata ke arah ribuan penunjuk perasaan yang berang dengan kematian warga Afrika-Amerika di tangan polis AS itu.

Dalam klip video yang ditular, anggota polis dilihat menekan George Floyd, 46, di atas jalan dengan lutut salah seorang daripada mereka menekan tengkuknya sehingga mangsa tidak bergerak lagi, malah terus terkulai apabila polis mengarahkannya menaiki kereta peronda.

George ditahan pada ketika itu kerana menyerupai seorang suspek kes pemalsuan cek tetapi meninggal dunia dalam keadaan menyedihkan selepas rayuannya tidak langsung diendahkan.

Berikutan kejadian itu empat anggota polis telah dibuang kerja, sementara Datuk Bandar Minneapolis berkata berkulit hitam tidak semestinya seseorang itu dijadikan sasaran keganasan.

Kematian beliau kini dijadikan laungan bantahan kumpulan aktivis hak asasi manusia terhadap keganasan oleh anggota polis.

Bukan itu sahaja, penunjuk perasaan juga mahu anggota polis yang terlibat dengan kematian George perlu menerima hukuman yang setimpal meskipun semuanya telah dipecat.

Kes itu hampir serupa dengan kes kematian Eric Garner pada 2014, seorang lelaki kulit hitam yang tidak bersenjata di New York yang meninggal dunia setelah dicekik oleh seorang anggota polis.

Kematian George pantas dikaitkan dengan isu perkauman malah ada yang berkongsi senarai nama penduduk kulit hitam yang dibunuh sebelum ini. Jika dihitung jumlahnya (termasuk George), angkanya melebihi 300 orang.

Rusuhan Di AS George Floyd

#JusticeForGeorgeFloyd dan #BlackLivesMatter kini trending di media sosial Twitter, semuanya mengecam tindakan tidak berperikemanusiaan anggota polis Minnesota yang menyebabkan George terbunuh.

Insiden yang berlaku ini menunjukkan, walaupun sudah menjengah tahun 2020 namun keganasan terhadap komuniti kulit hitam di AS masih tiada penghujungnya dan kematian George turut memberi kesan kepada dunia terhadap negara yang kononnya paling maju pemikiran.

Sumber: BBC, Awani