Tak Boleh Jerit Naik Roller Coaster COVID-19

Tak Boleh Jerit Naik Roller Coaster, Jaga Jarak Antara Normal Baharu Di Taman Tema Pasca COVID-19

Normal Baharu Di Taman Tema Pasca COVID-19

Masyarakat dunia kini perlu menelan pahit apabila dilaporkan kemungkinan besar vaksin COVID-19 tidak akan ditemui sampai bila-bila.

Justeru, masyarakat perlu memulakan dan menyesuaikan normal dan kelaziman baharu untuk berdepan pasca COVID-19 ini demi meneruskan kelangsungan hidup.

Kesihatan awam, kelestarian alam, pemulihan ekonomi dan keusahawanan melalui platform digital adalah antara aspek terpenting yang sedang dan bakal berubah.

Strategi penjarakkan sosial sebagai tumpuan utama pasca COVID-19, bagaimana pula dengan sektor pelancongan yang sememangnya sukar untuk menolak kehadiran orang ramai?

Seperti di Jepun, beberapa taman hiburan mula dibuka apabila pengendali taman tema mengeluarkan panduan bagi memastikan taman itu selamat dikunjungi meskipun ancaman virus masih ada.

Tidak boleh menjerit ketika menaiki roller coaster, menjaga jarak sosial di rumah hantu dan tidak dibenarkan high five dengan adiwira. Itulah sebahagian kelaziman baharu yang perlu dipatuhi di taman tema di Jepun dalam era pandemik COVID-19.

Antara saranan dikeluarkan adalah pengunjung perlu sentiasa memakai pelitup muka dan tidak menjerit terlalu kuat ketika menaiki roller coaster atau mana-mana permainan.

Tak Boleh Jerit Naik Roller Coaster COVID-19

Bukan itu sahaja, ‘hantu’ yang bertugas di dalam Rumah Hantu juga perlu menjaga jaraknya dengan ‘mangsa’. Kakitangan taman tema yang memakai kostum pula tidak dibenarkan bersalam atau high-five dengan peminat cilik mereka sebaliknya mengamalkan penjarakan sosial.

Adiwira yang ‘berlawan’ dengan musuh juga perlu mengelakkan mencetuskan situasi yang memerlukan pengunjung menjerit yang berkemungkinan menyebarkan virus kepada orang lain melalui air liur mereka.

Panduan itu turut menjelaskan permainan realiti maya tidak boleh dibuka kecuali cermin mata khas yang digunakan disanitasi sepenuhnya.

“Panduan ini mungkin tidak akan membuatkan jangkitan menjadi sifar tapi sekurangnya, ia boleh mengurangkan risiko jangkitan,” kata seorang pengendali taman tema.

Taman tema terhebat di Jepun, Tokyo Disneyland dan Universal Studios Japan masih belum dibuka sehingga kini dan belum ada tarikh ditetapkan untuk kedua-duanya beroperasi semula.

Selain Jepun, China juga telah membuka semula taman tema Shanghai Disneyland selepas tiga bulan ditutup akibat pandemik COVID-19.

BACA: Tiket Habis Dijual Dalam Seminit, Shanghai Disneyland Dibuka Selepas Tiga Bulan Ditutup

Sumber: The Japan Times