FINAS Filem Malaysia Ke Oscar

Pengerusi Baharu FINAS Pasang Impian Mahu Filem Malaysia Tercalon Ke Oscar

Minggu lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah mengumumkan Zakaria Abdul Hamid dilantik sebagai Pengerusi baharu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), berkuat kuasa Ahad lalu menggantikan Datuk Hans Isaac.

Manakala Datuk Norman Abdul Halim dilantik selaku Timbalan Pengerusi serta Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Hassan Asbor Hassan Mutaat merangkap Timbalan Ketua Pengarah Produksi dan Teknikal FINAS.

Susulan barisan pelantikan baharu itu, FINAS memasang impian untuk melihat filem tempatan diangkat ke peringkat antarabangsa termasuklah dicalonkan ke Anugerah Akademi atau Anugerah Oscar.

Memetik laporan Awani, Zakaria Abd Hamid berkata, meskipun tempoh dua tahun mungkin agak singkat buatnya dan pengurusan baharu namun beliau dan pasukannya optimis dengan sasaran tersebut.

FINAS Filem Malaysia Ke Oscar
Sumber: FMT

“Dalam tempoh dua tahun yang diamanahkan menteri ini, kami yakin dan saya yakin, sebagai pemandunya kita akan meletakkan footing yang kukuh untuk kita sampai ke tahap antarabangsa.

“Impian kita, mimpi kita untuk sampai ke peringkat tertinggi iaitu Anugerah Oscar dan kalau dalam bidang muzik, mungkin Grammy.

“Kita kena ada sasaran. Sebab itu saya berkongsi impian ini bersama menteri dan menteri rasa yakin saya boleh deliver. Yang penting adalah kerjasama,” katanya.

Dalam pada itu, menyedari ada pihak mempertikaikan pelantikannya mengetuai FINAS sedangkan tiada latar belakang industri seni, Zakaria berpendapat Menteri Komunikasi dan Multimedia mungkin melihat kualiti tersendiri yang ada padanya.

Beliau tidak menghiraukan pendapat segelintir pihak yang menganggap pemilihannya kerana pengaruh politik. Menurutnya, latar belakang yang bukan dari industri seni tidak menjadi masalah memandangkan beliau dikelilingi oleh pasukan yang pakar dalam bidang itu.

Bagaimanapun, penggiat seni menyuarakan pandangan sebelum FINAS bercita-cita untuk ke Oscar, moleklah dahulu perbadanan itu turun padang tangani beberapa masalah yang dihadapi mereka sewaktu melakukan penggambaraan.

Sebelum ini, filem Malaysia yang pernah hampir tersenarai termasuk, Puteri Gunung Ledang (2005) arahan Saw Teong Hin yang dibarisi pelakon Datin Seri Tiara Jacquelina dan M.Nasir dan Bunohan (2012) arahan Dain Said yang menampilkan pelakon utama, Zahiril Adzim dalam kategori Filem Asing Terbaik.

Filem animasi tempatan, Upin dan Ipin: Keris Siamang Tunggal juga hampir melangkah ke pencalonan akhir anugerah berprestij itu dalam kategori Filem Animasi Rencana Terbaik pada tahun ini namun tewas kepada beberapa filem animasi lain.

Sumber: Awani