Digigit Labah-Labah Jadi Spider-Man

Padah Biarkan Digigit Labah-Labah Berharap Jadi Spider-Man, Tiga Beradik Dikejar Ke Hospital

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Tiga adik-beradik digigit labah-labah Black Widow gara-gara terpengaruh filem.

Terpengaruh dengan adegan dalam filem menjadi perkara biasa yang kita sering dengar. Namun, impaknya bergantung kepada apa yang diterimanya.

Terpengaruh watak Spider-Man

Baru-baru ini, tiga adik-beradik lelaki di Bolivia berdepan padah selepas sengaja membiarkan labah-labah Black Widow menggigit mereka gara-gara mahu menjadi watak adiwira, Spider-Man.

Kesemua mangsa berusia lapan, 10 dan 12 tahun itu dilaporkan sedang menggembala kambing di bandar Chayanta di Potosi ketika kejadian itu berlaku pada 14 Mei lalu.

Ketiga-tiga mangsa berharap dapat bertukar menjadi Spiderman selepas digigit labah-labah berbisa itu seperti yang dipaparkan menerusi filem adiwira terbabit.

Bagaimanapun, ketiga-tiga adik-beradik itu mula mengalami simptom dalam tempoh beberapa minit hingga terpaksa dikejarkan ke pusat kesihatan tempatan oleh ibu mereka.

Namun, keadaan mereka dilaporkan semakin teruk termasuk gejala seperti demam, berpeluh dan sakit otot yang memaksakan mereka berpindah ke sebuah hospital di Llallagua.

Menurut Ketua Epidemiologi di Kementerian Kesihatan Bolivia, Virgilio Pietro, mereka berjaya dirawat dan dibenarkan keluar dari hospital seminggu kemudian.

“Insiden itu sepatutnya menjadi amaran bahawa segelintir kanak-kanak menganggap apa yang berlaku di dalam filem adalah perkara nyata. Mereka tidak sedar gigitan daripada labah-labah Black Widow boleh menyebabkan kematian kepada golongan itu,” ujarnya.

Digigit Labah-Labah Jadi Spider-Man

Menurut National Geographic, bisa labah-labah Black Widow adalah 15 kali lebih kuat berbanding ular orok-orok dan antara spesis labah-labah paling ditakuti di dunia dan paling berbisa di Amerika Utara.

Bisa labah-labah tersebut boleh mempengaruhi sistem saraf dan pembengkakan serta gejala jangka panjang seperti sakit otot, mual dan kelopak mata membengkak. Bagaimanapun, Black Widow sejenis tidak agresif dan hanya mengigit untuk mempertahankan diri.

Difahamkan, spesis tersebut berasal dari Amerika Utara, Amerika Selatan dan selatan Eropah malah ia juga ditemui di Australia, New Zealand dan Afrika Selatan.

Sumber: New York Post