Shanghai Disneyland Buka Semula

Tiket Habis Dijual Dalam Seminit, Shanghai Disneyland Dibuka Selepas Tiga Bulan Ditutup

Shanghai Disneyland dibuka semula hari ini, selepas tiga bulan ditutup akibat pandemik COVID-19, sekali gus menunjukkan China hampir menuju ke arah kehidupan seperti sedia kala.

Ia merupakan taman tema Disney yang pertama untuk dibuka semula selepas negera-negara lain mengenakan sekatan.

Dilaporkan, tiket pada hari pertama pembukaan taman tema itu habis dijual dalam tempoh seminit pada Jumaat lalu.

Ia hanya menerima pengunjung yang sudah membuat tempahan tiket awal, dan mengenakan kawalan ketat dengan melakukan pemeriksaan suhu badan di perkarangan pintu masuk serta dikehendaki menunjukkan kod respon pantas (QR) dikeluarkan kerajaan sebagai bukti tiada masalah kesihatan.

Pembesar suara di taman tema itu juga berulang kali mengingatkan pengunjung supaya memakai topeng muka sepanjang masa dan mematuhi penjarakan sosial termasuk ketika beratur sepanjang berada dalam taman tema popular.

Malah, kakitangan taman tema itu juga turut memegang papan tanda memberitahu pengunjung supaya sentiasa mematuhi penjarakan sosial antara satu sama lain manakala garisan kuning dan poster menunjukkan jarak yang sepatutnya berdiri ketika beratur turut disediakan.

Shanghai Disneyland Buka Semula

Meskipun begitu tidak semua kawasan di Disneyland Shanghai akan dibuka. Teater serta taman permainan kanak-kanak tetap akan ditutup, memandangkan tempat-tempat ini melibatkan interaksi yang kerap dan panjang. Para pengunjung juga perlu memakai pelitup muka setiap masa kecuali sewaktu makan.

“Walaupun banyak kawasan yang ditutup tetapi kami memang teruja datang ke taman tema ini pada hari pertama dibuka kerana mahu melihat perbezaan berbanding sebelum ini,” kata seorang pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai ‘Kitty’ bersama anak perempuannya berusia lima tahun.

Sebelum ini, Shanghai Disney membuka semula pusat beli belah dan pusat hiburan Disneytown serta hotel pada Mac lalu, tetapi menutup taman tema sehingga semalam.

China lapor 17 lagi kes COVID-19, termasuk jangkitan baharu di Wuhan

Sementara itu, China melaporkan 17 kes baru COVID-19 pada 10 Mei, naik sedikit berbanding sehari sebelumnya dan menandakan peningkatan tertinggi dalam masa sehari sejak 28 April.

Dalam kalangan kes-kes baru itu, tujuh adalah kes import melibatkan perjalanan ke luar negara, berbanding dua kes import pada 9 Mei.

Sumber: BH