India Serbu Kedai Arak

Rakyat India Serbu Kedai Arak Selepas Perintah Berkurung Dilonggarkan

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Beberapa sekatan pergerakan yang sebelum ini dikuatkuasakan bagi mengekang penularan COVID-19 mula ditarik semula secara perlahan-lahan.

Susulan penurunan kes positif COVID-19, beberapa negara mengambil keputusan untuk membuka semula ekonomi di negara masing-masing.

Seperti di India, beberapa jabatan kerajaan di New Delhi kembali dibuka hari ini apabila bandar raya itu mula melonggarkan kawalan dan perintah berkurung selepas 40 hari.

Beberapa sektor seperti sektor pembinaan dan sektor perkhidmatan kembali beroperasi di negara itu.

Namun, kelonggaran yang diberikan kerajaan India telah membawa maksud lain kepada sesetengah penduduk di sana. Ratusan pelanggan dilihat menyerbu sebuah kedai minuman keras untuk pertama kali sejak lima minggu berkurung.

Dianggarkan sekitar 500 orang pelanggan berbaris di hadapan kedai yang terletak di wilayah Kalyan Puri itu, sebelum polis tiba untuk mengarahkan kedai itu ditutup dan orang ramai bersurai, kata seorang saksi kepada Reuters.

Beberapa pemimpin negara mendesak agar kedai minuman keras dibuka semula, dengan mengatakan hasil daripada penjualan alkohol adalah sumber utama pendapatan cukai.

Perintah berkurung yang dikuatkuasakan di India menunjukkan penurunan kadar penambahan kes positif COVID-19 secara mendadak. India mencatat lebih 42,000 kes positif dengan lebih 1,300 kematian akibat wabak berkenaan setakat ini, yang mana populasi penduduk seramai 1.3 bilion orang.

India Serbu Kedai Arak
Sumber: ABS CBN

Tetapi penutupan operasi itu telah mengakibatkan penderitaan bagi berjuta-juta pekerja di sektor informal India yang secara tiba-tiba menganggur dan memberi tamparan hebat kepada ekonomi ketiga terbesar di Asia.

“Arak akan memberi tenaga kepada kita untuk menjaga jarak sosial semasa pandemik,” kata salah seorang pelanggan yang berbaris untuk membeli minuman keras di Kolkata.

Sementara itu, di daerah lain, polis telah mengarahkan kedai minuman keras itu tutup berikutan terlalu ramai orang sehingga telah melanggar peraturan jarak sosial.

Bagaimanapun, masih ramai lagi yang terus berkeliaran di tepi jalan dengan harapan kedai-kedai minuman keras akan dibuka semula.

Walaupun menyalahi undang-undang di beberapa negeri, penggunaan alkohol meningkat dengan ketara dalam beberapa tahun belakangan ini kerana kelas menengah negara itu semakin berkembang.

Sumber: FMT