Jepun Potong Bunga Tulip

Elak Orang Ramai Berkumpul, Jepun Potong Lebih 100,000 Bunga Tulip

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Negara matahari terbit, Jepun sememangnya sinomin dengan keindahan musim bunga. Apabila tiba musim ia begitu meriah dengan pesta dan perayaan tradisi khususnya di bandar raya Tokyo dan Osaka.

Bukan sahaja keindahan kuntuman bunga mekar mewangi dengan kelembutan warna merah jambu lembut dan putih, bunga-bunga lain seperti bunga tulip juga membuatkan jutaan orang dari seluruh dunia ingin berkunjung ke Jepun.

Walau bagaimanapun, suasana berbeza pada tahun ini dengan pembatalan temasya bunga sakura akibat penularan wabak COVID-19. Selain tidak dapat merasai suasana dikelilingi pokok sakura, ladang yang menghamparkan ribuang bunga tulip sebagai lokasi bergambar juga menerima nasib yang sama.

Dilaporkan, pihak berkuasa Jepun terpaksa memotong lebih 100 ribu bunga tulip yang sedang mekar bagi mengelakkan orang ramai berkumpul beramai-ramai dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19.

Malah, pihak berkuasa Jepun turut membatalkan festival bunga tulip tahunan di ladang Sakura Furusato Hiroba.

“Ramai pengunjung datang pada hujung minggu ketika bunga-bunga ini sedang mekar. Ini akan menyebabkan perhimpunan besar-besaran sehingga kami tidak punya pilihan selain membuat keputusan untuk memotong bunga,” kata Sakiho Kusano, pegawai pelancongan bandar.

Jepun Potong Bunga Tulip

 

Bunga tulip yang biasanya menghiasi ladang seluas 7,000 meter persegi itu kini dilaporkan telah musnah dan hanya tinggal daun warna hijau sahaja, malah ada kawasan yang kelihatan seakan lumpur kosong yang tidak mempunyai apa-apa.

Difahamkan, bunga-bunga tulip yang dipotong akan disalurkan ke pusat jagaan kanak-kanak.

Pada 7 April, Jepun mengisytiharkan perintah darurat di beberapa lokasi termasuk Tokyo berikutan peningkatan penularan wabak COVID-19.

Perintah darurat itu membabitkan tujuh wilayah iaitu Tokyo, Chia, Kanagawa, Saitama, Osaka, Hyogo dan Fukuoka. Dijangkakan perintah kuarantin ini akan dilaksanakan selama sebulan.

Setakat hari ini, kes positif COVID-19 di Jepun telah mencecah lebih 12 ribu orang diikuti dengan 328 kadar kematian. Manakala kes sembuh pula sudah mencapai 2,408 orang.

Sumber: Reuters