
Mengaku Jalin Hubungan Baik, Trump Nafi Dakwaan Pemimpin Korea Utara Sedang Kritikal
Terdahulu, beberapa media antarabangsa melaporkan Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un sedang berada dalam keadaan kritikal selepas menjalani pembedahan kardiovaskular.
Spekulasi mengenai kesihatan Kim timbul apabila beliau tidak menghadiri hari ulang tahun kelahiran pengasas Korea Utara yang juga adalah datuknya, Kim Il Sung, pada 15 April lalu.
Bagaimanapun, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Khamis menafikan laporan tersebut. Menurut Trump, beliau difahamkan laporan berita yang dikeluarkan oleh CNN adalah berdasarkan dokumen lama, lapor Reuters.
“Saya rasa laporan itu salah,” kata Trump pada sidang media harian di Rumah Putih.
Trump bagaimanapun tidak menyatakan sama ada beliau ada berhubung dengan pegawai di negara itu walaupun pernah menyatakan hasrat untuk berbuat demikian.
“Kita ada hubungan baik dengan Korea Utara, saya ada hubungan baik dengan Kim Jong-un dan saya harap beliau sihat,” kata Trump lagi.
Donald Trump, yang pernah mengadakan pertemuan empat mata sebelum ini dengan Jong Un pada 2018 dan 2019 dalam usaha meyakinkannya untuk melupuskan senjata nuklear, berkata, laporan itu belum disahkan dan dia tidak mempercayai sepenuhnya berita itu.

Namun begitu, Trump mendoakan kesejahteraan pemimpin Korea Utara itu dalam pada masa yang sama mengaku tidak mengetahui sama ada Jong Un benar-benar sakit dan berada dalam keadaan kritikal.
Sejak khabar angin bertiup kencang berhubung perkara itu, media rasmi Korea Utara hari ini langsung tidak berkongsi perkembangan kesihatan terkini pemimpin mereka.
Medianya dilihat melaporkan imej biasa dan laporan rutin pencapaian Jong Un selain menyiarkan petikan lama kenyataan media atau yang tidak mempunyai tarikh berhubung isu ekonomi dan sebagainya.
Spekulasi yang megatakan Kim Jong Un tenat apabila dilaporkan keadaan kesihatannya merosot sejak Ogos disebabkan tabiat merokok, obesiti dan beban kerja keterlaluan.
Untuk rekod, ini bukan kali pertaman timbulnya desas-desus mengenai kesihatannya yang mencetuskan spekulasi dan kemudiannya diberhentikan.
Namun, setakat ini tiada berita rasmi tentang keadaan kesihatan Jong-un atau di mana beliau berada walaupun daripada media Korea Utara sendiri.
Sumber: Awani
Trending now



