Hari Mantai Sebelum Ramadan

Hari Mantai: Tradisi Melapah Daging Sehari Sebelum Ramadan Masyarakat Negeri Sembilan

Mantai, tradisi melapah daging sehari sebelum Ramadan masyarakat Negeri Sembilan.

Bulan Ramadan ialah bulan istimewa bagi umat Islam seluruh dunia. Ramadan bukan hanya mengenai menahan lapar dan dahaga, tetapi untuk kita membuat lebih banyak amal ibadat.

Setiap negara yang ada masyarakat Muslim meraikan bulan Ramadan dengan budaya masing-masing yang telah diamalkan sejak turun-temurun. Rata-rata rakyat Malaysia menyambut kedatangan Ramadan dengan pemberian bubur lambuk yang dimasak para jemaah masjid dan surau kepada orang ramai.

Namun, masyarakat di Negeri Sembilan lebih meriah menyambut kedatangan Ramadan dengan aktiviti mantai iaitu salah satu tradisi masyarakat di negeri ini yang sinonim dengan Adat Perpatih.

Hari Mantai kebiasaannya disambut oleh penduduk di beberapa daerah di negeri ini termasuk Seremban, Rembau, Jelebu, Jempol dan Tampin.

Bagi orang ramai yang bukan berasal dari negeri itu, pastinya akan tertanya-tanya apakah itu Hari Mantai. Hal ini kerana perkataan itu jarang sekali didengari, apatah lagi diketahui oleh sebahagian besar masyarakat negara ini.

Mantai dalam dialek masyarakat Negeri Sembilan yang asalnya perkataan membantai. Ia tentang hari atau malam melapah daging sembelihan iaitu sehari sebelum ketibaan bulan Ramadan ataupun Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.

Hari Mantai Sebelum Ramadan
Sumber: Muzium Negeri Sembilan

Apabila tibanya Hari Mantai, pastinya riuh-rendah kerana ketika itu para penternak lembu di dalam kampung itu akan menyembelih, melapah lembu dan menjualnya pada harga yang murah berbanding harga pasaran.

Tempat mantai yang strategik di simpang atau tepi jalan kampung yang mana daging telah siap dilapah digantung. Pada zaman dahulu terdapat istilah yang dinamakan sebagai “cincang pelupuh” yang mempunyai kaitan dengan mantai namun kini istilah itu telah pun lupus mungkin disebabkan peredaran zaman yang pesat dan serba moden. Cincang pelupuh bermaksud daun daripada sebatang potong yang bernama pelupuh yang menjadi alas daging lembu serta kerbau yang telah dilapah.

Hari Mantai Sebelum Ramadan
Sumber: Muzium Negeri Sembilan

Penduduk-penduduk kampung pula akan bergotong rotong ‘melemang’ (membakar lemang) dan memasak rendang bersama anak-beranak dan saudara-mara. Ia menunjukkan Adat Pepatih yang diamalkan di Negeri Sembilan mementingkan musyawarah, muafakat dan perpaduan hingga mereka sanggup mengambil cuti tahunan semata-mata untuk pulang tidak melepaskan peluang dengan aktiviti tradisi ini.

Kemuncak mantai ialah ketika makan bersama keluarga dan sanak-saudara, kemudian bertukar-tukar atau berkongsi makanan yang dimasak. Malamnya pula, penduduk akan bersiap-sedia untuk ke masjid menunaikan solat isyak dan sunat terawih malam pertama Ramadan.

Bagaimanapun, sambutan Ramadan pada tahun 2020 ini amat berbeza bagi masyarakat Negeri Sembeilan kerana tiada program yang diadakan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di negara ini.

Sumber: BH, Muzium Negeri Sembilan