Pelajar Mesir Kurang Bekalan Makanan

Tak Semua Diberi Keistimewaan, Pelajar Di Mesir Hadapi Masalah Bekalan Makanan

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Sejak Perdana Menteri mengumumkan tempoh lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara ini, sebilangan pelajar IPTA/S menyuarakan tuntutan mereka di laman sosial untuk memohon dibawa pulang ke kampung halaman masing-masing.

Antara faktor yang meminta pelajar-pelajar ini untuk pulang ke kampung halaman mereka ialah bantuan makanan yang diberikan adalah lebih baik jika disalurkan kepada barisan hadapan dan merekayang hilang mata pencarian selain faktor kesihatan mental.

Ada yang mempersoal bahawa kerajaan mengambil berat nasib rakyat Malaysia di luar negara dengan membawa pulang mereka, hanya dikuarantin selama 14 hari dan jika tiada gejala boleh pulang ke kediaman masing-masing. Tetapi, untuk pelajar tempatan sudah sebulan ‘terkurung’ di dalam kampus.

Namun, walaupun para pelajar ‘terkurung’ tetapi kebajikan tetap dijaga dengan diberi makan sebanyak tiga kali sehari, bantuan bekalan makanan kering dan khidmat kaunseling.

Tidak seperti yang dihadapi para pelajar Malaysia di universiti Mesir. Mereka sedang menghadapi tekanan yang memberi kesan kepada kehidupan seharian sepanjang tempoh
kuarantin di sana.

Selain mengalami masalah yang sama seperti pelajar di sini, iaitu berjauhan beribu batu tanpa keluarga di sisi, mereka turut menghadapi masalah yang lebih mencabar seperti kekurangan bekalan makanan dan kadar pertukaran wang asing yang tinggi ketika ini.

Memetik laporan MalaysiaGazette, pelajar di sana mengatakan walaupun bekalan makanan ada diberikan seperti satu sarang telur dan seekor ayam tetapi masih bimbang kerana bekalan itu semakin kurang dan pergerakan pula terbatas.

“Apa yang mampu kami lakukan adalah berdoa dan berharap keadaan penularan wabak ini dapat dipulihkan,” luah penuntut tahun dua Fakulti Perubatan, Universiti Al Mansoura.

Katanya, walaupun ada sebahagian penuntut yang mengambil keputusan untuk balik ke Malaysia dengan perbelanjaan sendiri (kos tambang meningkat satu kali ganda) tetapi majoriti masih berada di sana walaupun terpaksa melalui perintah berkurung memandangkan tarikh peperiksaan semakin hampir.

Pelajar Mesir Kurang Bekalan Makanan

Pelajar yang masih berada di Mesir menjalani perintah berkurung seperti yang dikeluarkan oleh kerajaan di sana. Perintah berkurung berkuatkuasa antara pukul 8 malam hingga 7 pagi.

Sesi pembelajaran mereka pula masih berjalan seperti biasa iaitu kuliah secara dalam talian dan peperiksaan akan dijalankan mengikut jadual yang ditetapkan, antara Jun atau Ogos.

Usahlah anda berasa terseksa dan tersisih, semua orang menghadapi masalah yang sama iaitu berjauhan dengan keluarga tetapi kita perlu akur dengan perintah kerajaan demi mengekang penularan wabak COVID-19.

Sumber: MalaysiaGazette