Beza Kluster Oversea Dan Tabligh

Jengkel Dengan Sikap Kluster ‘Oversea’- Barisan Hadapan Luah Rindu Kluster Tabligh

Sejak minggu ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan peningkatan kes jangkitan COVID-19 adalah sebahagiannya daripada kemunculan kluster baharu iaitu kluster rakyat Malaysia yang melancong ke luar negara dan pulang semula ke sini.

Semua rakyat Malaysia yang kembali dari luar negara wajib menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin khas ditetapkan kerajaan berkuat kuasa 3 April.

Sebaik tiba di lapangan terbang, mereka akan dibawa terus menggunakan bas ke pusat kuarantin dan disaring oleh petugas Kementerian Kesihatan untuk mengetahui status kesihatan.

Membacanya nampak tidak begitu merumitkan kerja yang dipertanggungjawabkan kepada petugas barisan hadapan. Namun, sikap manusia tidaklah semudah yang kita jangka.

Salah seorang petugas barisan hadapan menyifatkan kluster baharu pesakit COVID-19 yang kebanyakannya baru pulang bercuti luar negara sebagai kluster menjengkelkan, berbeza dengan kluster tabligh.

Meluahkan kekecewaan yang terbuku selama ini di laman sosial Facebook, Dr Mohd Afiq berkata kluster baharu yang turut dipanggil kluster ‘oversea’ ini dikatakan berlagak seolah-olah menjadi mangsa penyakit Covid-19, sedangkan mereka tanpa segan silu memaparkan gambar mereka sedang melancong di luar negara menerusi laman sosial masing-masing tanpa rasa bersalah.

“Malah ada yang siap perli kata corona (Covid-19) tiada kat tempat sejuk dan sebagainya.

“Kadang-kadang terasa macam kita (petugas barisan hadapan) ini lebih kepada merawat sifat pentingkan diri mereka daripada merawat Covid-19 itu,” ujarnya.

Beliau turut mendakwa kluster ‘oversea’ lebih banyak tuntutan dan sering merungut mengenai kemudahan disediakan pihak hospital kepada pesakit Covid-19 dikuarantin.

Perangai menjengkelkan kluster itu tidak termasuk dengan segelintir mereka yang mempersoalkan prosedur saringan Covid-19 seperti pengambilan darah dan swab pesakit, bahkan golongan ini lebih sibuk bersama gajet berbanding mendengar arahan petugas kesihatan.

“Berbeza dengan geng tabligh, mereka semua sangat memudah memberikan kerjasama. Terasa seronok merawat diorang (mereka) ini walaupun (petugas kesihatan) berpeluh-peluh dek PPE.

“Rasa macam rawat kawan-kawan kita yang sangat mesra dengan kita,” katanya.

Selama menjaga kluster tabligh, mereka sering berdamping dengan al-Quran dan zikir dengan hampir keseluruhannya sangat merendah diri, sentiasa memberi kerjasama terbaik dan tidak pernah merungut.

Beza Kluster Oversea Dan Tabligh

“Sentiasa dengar azan berkumandang dalam wad. Bacaan al-Quran hampir setiap masa. Wad kusta lama yang penuh dengan cerita hantu pun rasanya hantu-hantu lari bertempiaran kerana pendinding semula jadi dek kerana zikir mereka.

“Itulah kluster tabligh. Rindu geng tabligh.”

Beliau bagaimanapun menegaskan bukan semua yang pulang dari luar negara mempunyai sikap dan mentaliti sebegitu, terutama mereka yang berada di luar negara disebabkan urusan yang tidak dapat dielakkan seperti belajar.

Sumber: FB Mohd Afiq