Liverpool Juara EPL

EPL Mungkin Disambung Semula, Liverpool Bakal Julang Trofi Dalam Stadium Kosong

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Badan Pentadbir Liga Perdana Inggeris (EPL) mengesahkan tidak akan membatalkan liga itu dan akan disambung semula selewat-lewatnya Jun nanti.

Perbincangan kemungkinan liga disambung semula pada Jun telah dibincangkan bersama semua pasukan EPL, menurut laporan sebuah portal berita antarabangsa.

“Semua 20 pasukan EPL juga bersetuju untuk bermain tanpa penyokong untuk memastikan liga berjaya ditamatkan.

“Ia juga bakal menyaksikan Liverpool menjulang trofi EPL dalam stadium kosong dan ia menjadi sejarah tercipta dalam saingan liga itu nanti,” kata laporan itu.

Presiden UEFA, Aleksander Ceferin berkata tidak mungkin Liverpool menamatkan musim tanpa gelaran EPL, walaupun kempen dibatalkan akibat pandemik COVID-19.

Liverpool kendalian Jurgen Klopp di ambang menamatkan kemarau 30 tahun kejuaraan liga tertinggi Inggeris itu apabila mendahului 25 mata di depan pesaing terdekat yang juga juara bertahan Manchester City.

“Tidak mungkin Liverpool menamatkannya tanpa gelaran. Jika perlawanan disambung, sudah pasti mereka memenanginya – secara teori, kejuaraan belum milik mereka tetapi ia seakan sudah terjamin.

“Saya sedar peminat mungkin kecewa jika perlawanan diadakan di stadium kosong atau ia diselesaikan dengan cara lain, tetapi saya percaya mereka tetap akan memenanginya,” kata Ceferin.

Ceferin pada masa yang sama turut yakin liga-liga Eropah lain termasuk Liga Juara-Juara dan Liga Europa akan kembali bersambung musim panas ini.

Liverpool Juara EPL

Sebelum ini, EPL mengumumkan menangguhkan liga sehingga keadaan selamat sebelum boleh disambung semula, namun melihatkan keadaan pandemik koronavirus (Covid-19) tersebut yang tidak pasti bila akan pulih.

Banyak pasukan yang meminta kata putus dikeluarkan EPL mengenai masa depan liga tersebut.

Menurut laporan berkenaan, jika disambung pada Jun, liga berkemungkinan akan berjaya dihabiskan dalam tempoh dua bulan dan pihak liga juga sedang memikirkan perancangan bagaimana untuk memastikan perlawanan dalam keadaan selamat. Para pemain dijangka akan diasingkan daripada keluarga dan berada di bilik hotel, tetapi ianya mash belum mendapat kata putus.

Dalam pada itu, pengendali Liverpool, Jurgen Klopp meminta semua penduduk di England supaya mematuhi garis panduan dikeluarkan pihak berkuasa bagi memastikan EPL dapat kembali bersambung semula.

“Tiada penyelesaian lain lagi boleh dibuat untuk membendung wabak ini melainkan bertenang dan ikut arahan. Mungkin dalam beberapa minggu lagi kita akan dapat menonton kembali bola sepak,” katanya.

Sumber: Sinar Harian, BH