Bayi Kembar Corona dan Covid

Lahir Ketika Perintah Berkurung, Bayi Kembar Ini Diberi Nama ‘Corona’ Dan ‘Covid’

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Sejak wabak COVID-19 telah diisytihar darurat kesihatan global oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih 3.9 bilion orang atau setengah daripada populasi penduduk dunia mengalami penyakit berjangkit itu telah melaksanakan perintah berkurung.

Pelbagai kisah berbeza yang kita dengar dan lihat sepanjang tempoh perintah berkurung ini, salah satunya seorang ibu dari Raipur, India yang baru melahirkan anak kembarnya memberi nama ‘Corona’ dan ‘Covid’.

Sepasang suami isteri berkenaan nekad memberi nama tersebut kerana menunjukkan simbolik kemenangan menghadapi kesukaran ketika wabak ini masih lagi membadai dunia walaupun mencetuskan tanda tanya pelbagai pihak.

Menurut Times of India, Preeti Verma, 27, melahirkan anak kembarnya itu pada 26 Mac lalu di DRBR Ambedkar Memorial Hospital, India, ketika negara berkenaan juga masih mengharungi perintah berkurung.

Menceritakan kembali saat melahirkan dua orang bayinya itu, Verma berkata ambulans yang membawanya ke hospital telah ditahan beberapa sekatan jalan oleh pihak polis.

Bagaimanapun kesemua sekatan itu membenarkan ambulans berkenaan untuk meneruskan perjalanan selepas mengetahui keadaannya ketika itu.

Verma dan pasangannya berkata mereka membuat keputusan itu untuk menjadikan hari kelahiran bayi kembarnya itu sebagai ‘hari yang tidak dapat dilupakan’.

Bayi Kembar Corona dan Covid

Tambah Verma, ketika proses kelahiran, kakitangan hospital turut memanggil bayi kembarnya itu sebagai Corona dan Covid. Kembar itu, anak lelaki diberi nama Covid manakala anak perempuan dipanggil Corona.

Katanya, disebabkan virus yang mengancamm nyawa inilah membuatkan penduduk di seluruh dunia mula mengamalkan gaya hidup sihat di samping menjaga kebersihan dan penjagaan diri yang ketat setiap hari.

Bagaimanapun, ibu tersebut mengakui bahawa mungkin akan menukarkan nama anak kembarnya apabila mereka semakin membesar.

Perdana Menteri India, Narendra Modi telah mengumumkan arahan perintah berkurung dan kuarantin dikuatkuasakan selama 21 hari pada 21 Mac lalu.

Perintah itu secara tidak langsung menyaksikan ribuan pekerja yang meraih gaji harian di New Delhi memenuhi jalan raya minggu lalu untuk pulang ke kampung halaman masing-masing sebagai usaha mencari pekerjaan dan pendapatan lain.

Sehingga Ahad, pihak berkuasa kesihatan India mencatatkan 4,288 kes positif dijangkiti COVID-19, 117 kes meninggal dunia manakala 328 kes sembuh sepenuhnya.

Sumber: Mirror, Awani