
Senarai Perkhidmatan Penting Terbaharu Bagi Tempoh Pelaksanaan PKP Fasa Ke-2
Memasuki fasa kedua pada 1 April lalu, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilaksanakan dengan lebih menyeluruh dan ketat. Malah senarai perkhidmatan penting (essential services) juga telah dipendekkan kepada 10 kategori sahaja berbanding dengan 22 kategori sebelum ini.
BACA: Lanjutan Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bergantung Kepada Pematuhan Rakyat Sendiri
Sudah menjadi sebahagian daripada Warta Kerajaan Persekutuan, 10 kategori ini berada di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang diterbitkan pada 31 Mac lalu.
Jika sebelum ini senarai perkhidmatan penting termasuklah air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan, kategori ini dipendekkan kepada 10 iaitu:
- Makanan
- Air
- Tenaga
- Komunikasi dan internet
- E-dagang
- Sisa buangan pepejal dan pengurusan kebersihan dan saliran awam
- Kesihatan dan perubatan termasuk supplement pemakanan
- Perbankan dan kewangan
- Keselamatan dan pertahanan
- Logistik yang tertakluk kepada perkhidmatan penting berkaitan

Dalam warta berkenaan juga, individu dibenarkan untuk melakukan jarak pergerakan kepada 10km sahaja dari tempat kediaman.bersandarkan kepada lima tujuan sahaja, iaitu:
- Membeli makanan, keperluan harian, ubat dan supplement pemakanan
- Membekal atau menghantar makanan, keperluan harian, ubat dan supplement pemakanan
- Mendapatkan perkhidmatan kesihatan atau perubatan
- Menjalankan tugas-tugas rasmi
- Menjalankan tugas-tugas berkaitan perkhidmatan penting yang tersenarai
Tempoh fasa kedua PKP sehingga 14 April ini merupakan fasa kritikal dan mustahak dan hanya akan ditentukan sama ada akan disambung atau pun tidak pada 10 April ini berdasarkan kenyataan daripada Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Ini kerana beberapa hari sebelum tamatnya tempoh PKP fasa kedua, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia akan menilai keberkesanannya pada hari ke-10.
BACA: Ingkar Perintah Kawalan Pergerakan, Anda Adalah Penjenayah Yang Boleh Didenda Dan Dipenjarakan
Terlalu awal untuk menjangkakan sebarang kesimpulan, menurut Dr Noor Hisham apa yang penting sekarang ini ialah melandaikan graf COVID-19 di Malaysia.
Malah KKM juga ada mencadangkan agar bazar Ramadan tahun ini diadakan secara drive-thru atau pun secara dalam talian bagi mengelakkan gelombang ketiga berlaku.
Trending now



