Persiapan Haji Umrah Tangguh

Arab Saudi Minta Tangguh Persiapan Haji, Umrah Demi Kesihatan Umat Islam

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Kerajaan Arab Saudi menggesa umat Islam untuk menangguhkan rancangan untuk menunaikan haji sehingga wabak COVID-19 dapat dikawal.

Menteri Haji dan Umrahnya, Mohammed Saleh Benten berkata kepada stesen televisyen Al-Ekhbariya, bagaimanapun Arab Saudi dalam keadaan bersedia sepenuhnya untuk menerima jemaah haji dan umrah.

“Tetapi keadaan semasa ketika kita bercakap mengenai pandemik global, kerajaan mahu melindungi kesihatan umat Islam serta rakyat.

“Oleh itu, kita meminta umat Islam di semua negara untuk menunggu sebelum melakukan haji sehingga keadaannya jelas,” kata Mohammed menurut laporan Reuters.

Bulan lepas, Arab Saudi menghentikan kemasukan jemaah umrah untuk sepanjang tahun ekoran kebimbangan terhadap penularan COVID-19.

Kira-kira 2.5 juta jemaah haji dari seluruh dunia biasanya berkumpul di Makkah dan Madinah untuk ibadat yang dijadualkan bermula pada akhir bulan Julai.

Selain menangguhkan haji dan umrah, Arab Saudi juga menghentikan semua penerbangan antarabangsa dan menyekat masuk dan serta keluar pergerakan ke beberapa bandar raya, termasuk Makkah dan Madinah.

Susulan perkembangan itu, kerajaan akur pendirian Arab Saudi yang menggesa umat Islam menangguhkan rancangan menunaikan haji sehingga wabak COVID-19 dapat dikawal.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary, berkata terpulang kepada kerajaan Arab Saudi kerana mereka lebih memahami keadaan di sana.

Bagaimanapun katanya, pihaknya akan mengikuti perkembangan dari semasa ke semasa kebarangkalian terdapat pengumuman lain selepas ini.

Gerakan Boikot Haji Putera Mahkota Arab Saudi

Setakat ini, pembatalan musim haji tidak pernah berlaku sebelum ini, namun langkah mengehadkan kehadiran dari kawasan berisiko tinggi pernah dilaksana ketika wabak Ebola menyerang wilayah itu.

“Mudah-mudahan mereka (bakal jemaah haji) juga dikira sebagai orang yang mendapat ganjaran pahala kerana sudah mula dengan niat baik, namun terdapat halangan tertentu.

“Biasanya, mereka yang bakal menunaikan ibadat haji tahun ini sudah dimaklumkan awal dan sudah mendapat surat untuk persediaan,” kata Ahmad Marzuk Shaary.

Dalam perkembangan lain, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan peluru berpandu puak pemberontak Houthi ke atas Arab Saudi pada 27 dan 28 Mac lepas.

Peluru berpandu yang dilancarkan pemberontak Houthi disasarkan ke arah bandar Abha, Khamis Mushait, Riyadh dan Jazan di Arab Saudi. Bagaimanapun, peluru berpandu yang dilancarkan dapat dipintas dan tiada kematian dilaporkan.

Sumber: BH