
Indonesia Isytihar Darurat Tapi Enggan Kuat Kuasa Perintah Berkurung Meski Kematian Meningkat
Indonesia isytihar darurat namun enggan kuat kuasa perintah berkurung.
Presiden Indonesia, Joko Widodo mengisytiharkan darurat susulan daripada peningkatan kematian akibat COVID-19 di negara berkenaan.
Di Indonesia, Jakarta mencatatkan jumlah kematian terbesar membawa kepada jumlah kematian keseluruhan terkini sebanyak 136 kes.
Walaupun mengeluarkan pengisytiharan darurat hari ini, Jokowi tetap enggan melaksanakan perintah berkurung kepada rakyat Indonesia dan enggan mengulas lanjut mengenai keputusannya.
Hanya menegaskan penjarakkan sosial dilakukan dalam skala yang besar, Jokowi dikecam hebat sebelum ini apabila Indonesia tidak melaporkan walaupun satu kes jangkitan di sana dan apabila banyak kematian sudah dicatatkan, beliau masih enggan melaksanakan perintah berkurung serta menguatkuasakan perintah konsep bekerja dari rumah.
Setakat ini, Indonesia telah mencatatkan 1,528 kes sahaja, namun kes kematian di sana telah melebihi beberapa buah negara yang memiliki kes positif COVID-19 yang lebih tinggi daripadanya.
Indonesia juga mengumumkan mahu membebaskan 30,000 banduan sebagai langkah membendung penularan COVID-19 di penjara yang semakin sesak.
Terdahulu, Indonesia menjangkakan bakal mencatatkan 700,000 kes positif COVID-19 menjelang April selepas daripada melihat pertambahan mendadak yang berlaku di sana.
Sebagai langkah menghadapi amaun berkenaan, Indonesia sedang menyediakan satu juta kit ujian bagi pemeriksaan berskala besar untuk mengenal pasti kes positif COVID-19 dalam kalangan rakyatnya.
Namun keutamaan hanya akan diberikan kepada mereka yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit positif COVID-19 yang mana akan membawa kepada pengesanan kontak rapat lain dalam tempoh 14 hari sebelumnya.
Mencatatkan kematian tertinggi di Asia Tenggara, Indonesia dijangka akan mencatatkan tempoh ‘menghidap’ wabak COVID-19 lebih lama berbanding negara lain berikutan kelewatan pengesanan kes pertama mereka.
Walaupun sudah ada beberapa kes yang positif COVID-19 adalah berpunca daripada perjalanan ke Indonesia, Indonesia tetap menafikannya dan ‘membangga diri’ berikutan tiada satu pun kes positif dicatatkan di sana.
Meskipun penularan COVID-19 dijangka berlaku dalam skala yang besar, rakyat Indonesia masih lagi memenuhi masjid bagi melakukan solat berjemaah namun dengan pengamalan konsep jarak sosial.
BACA: Masjid Di Indonesia Masih Dibuka, Jemaah Tunai Solat Dengan Aplikasi ‘Jarak Sosial’
Awal minggu lalu, tular satu gambar di media sosial yang memaparkan pengangkutan awam LRT di Jakarta tetap penuh dengan warga kota yang mahu ke tempat kerja meskipun wabak COVID-19 menular di sana.
Sumber: Berita Harian
Trending now



