Menteri Jerman Bunuh Diri

Bimbang Impak Ekonomi Akibat COVID-19, Menteri Jerman Bunuh Diri

Ketua Menteri Kewangan Hesse di Jerman, Thomas Schaefer dipercayai telah membunuh diri kerana ‘terlampau bimbang’ dengan cara menangani impak ekonomi akibat penularan pandemik COVID-19, menurut perdana menteri negeri itu, Volker Bouffier.

Thomas Schaefer, 54, ditemui mati berdekatan sebuah landasan kereta api, semalam, dan pejabat pendakwa raya Wiesbaden percaya bahawa beliau membunuh diri.

Hesse terletak di Frankfurt yang juga ibu kota Jerman, di mana ibu pejabat institusi kewangan utama seperti Bank Deutsche and Commerzbank beroperasi. Bank Pusat Eropah juga terletak di Frankfurt.

Bouffier memaklumkan, Schaefer yang merupakan Menteri Kewangan Hesse sejak 10 tahun lalu, bekerja siang dan malam untuk membantu syarikat serta pekerja menghadapi impak ekonomi akibat pandemik COVID-19.

“Kami terkejut, berasa tidak percaya dan lebih daripada itu, kami amat sedih,” kata Bouffier dalam satu rakaman kenyataan.

“Hari ini, kami terpaksa mengandaikan bahawa beliau terlalu bimbang.

“Kita memerlukan seseorang seperti beliau pada saat-saat sukar sebegini,” katanya yang juga sekutu rapat kepada Canselor, Angela Merkel.

Schaefer yang popular dan dihormati ramai, telah sekian lama disebut-sebut sebagai mungkin menjadi pengganti kepada Bouffier. Mendiang meninggalkan seorang isteri dan dua anak.

Menteri Jerman Bunuh Diri

Jerman antara negara Eropah yang sangat terjejas dengan pandemik COVID-19 – Itali, Sepanyol, Jerman dan Perancis, semuanya mencatatkan kes melebihi 10,000 iaitu lebih 80,000 jangkitan, termasuk 4,566 kematian.

Pada minggu lalu, kira-kira 6 juta topeng yang dibeli Jerman dilaporkan hilang di sebuah lapangan terbang di Kenya.

Jerman menempah topeng serta beberapa kelengkapan perlindungan lain berjumlah kira-kira €241 juta (AS$262 juta) untuk kegunaan dalam usaha membendung penularan Covid-19. Tempahan itu sepatutnya sampai di Jerman 20 Mac lalu tetapi telah lesap dan pihak berkuasa sedang menyiasat perkara itu.

Ramai sudah ahli ekonomi isytihar COVID-19 cetus kemelesatan dunia

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) meramalkan pandemik COVID-19 mencetuskan kemelesetan ekonomi global pada 2020, yang kesannya lebih buruk daripada krisis kewangan melanda pada 2008.

Pengarah Urusan IMF, Kristalina Georgieva, berkata prospek pertumbuhan adalah negatif, namun unjuran pertumbuhan ekonomi global itu dijangka pulih pada 2021.

Sumber: BH