i-lestari kwsp

Ini Cara Untuk Membuat Permohonan Pengeluaran i-Lestari KWSP

Kerajaan telah memberi kelonggaran untuk pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuat pengeluaran daripada Akaun 2 berikutan wabak koronavirus (COVID-19) yang memerlukan pindaan terhadap Akta KWSP 1991 di bawah Seksyen 54 (6). Ahli KWSP boleh membuat permohonan pengeluaran menerusi kemudahan i-Lestari bermula 1 April 2020 dan wang tersebut akan dimasukkan ke dalam akaun bank masing-masing pada 1 Mei 2020.

Kemudahan i-Lestari KWSP akan memberikan kelegaan dari segi kewangan kepada mereka yang terjejas bagi menampung keperluan keluarga berikutan wabak COVID-19 yang melanda negara.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan ahli KWSP yang berumur bawah 55 tahun boleh membuat pengeluaran masing-masing tertakluk kepada kadar maksimum RM500 sebulan untuk tempoh selama 12 bulan. Namun, ianya bergantung juga kepada baki jumlah simpanan akaun 2 ahli.

i-lestari kwsp

Soalan Lazim Asas Pengeluaran i-Lestari KWSP

Tempoh kuatkuasa Pengeluaran i-Lestari

Pengeluaran i-Lestari adalah berkuatkuasa bagi tempoh 1 April 2020 hingga 31 Mac 2021.

Konsep am Pengeluaran i-Lestari.

Konsep am Pengeluaran i-Lestari adalah seperti berikut:

  1. Pengeluaran adalah daripada Akaun 2 sahaja.
  2. Kelayakan bilangan bulan pengeluaran adalah dikira bermula daripada tarikh penerimaan permohonan pengeluaran yang diluluskan oleh KWSP hingga tamat tempoh kuatkuasa Pengeluaran i-Lestari iaitu 31 Mac 2021.
  3. Bayaran pengeluaran akan dibuat secara bulanan dan berulang (recurring) untuk bulan-bulan berikutnya tertakluk kepada kelayakan bilangan bulan pengeluaran seperti di para (b)

Ilustrasi:

  1. Jika permohonan yang diluluskan diterima pada bulan April 2020, kelayakan bilangan bulan pengeluaran adalah bilangan maksimum selama 12 bulan.
  2. Jika permohonan yang diluluskan diterima pada bulan September 2020, kelayakan bilangan bulan pengeluaran adalah selama 7 bulan.
  3. Jika permohonan yang diluluskan diterima pada bulan Mac 2021, kelayakan bilangan pengeluaran adalah selama 1 bulan.

Kelayakan ahli untuk memohon Pengeluaran i-Lestari

  1. Warganegara Malaysia, Pemastautin Tetap dan Bukan Warganegara Malaysia ;
  2. Berumur di bawah 55 tahun; dan
  3. Mempunyai baki simpanan di dalam Akaun 2

Tempoh ahli membuat permohonan Pengeluaran i-Lestari

Ahli boleh menghantar borang permohonan Pengeluaran i-Lestari mulai 1 April 2020 hingga 31 Mac 2021. (Permohonan hendaklah diterima oleh KWSP sebelum atau pada 31 Mac 2021).

Amaun yang layak dikeluarkan oleh ahli di bawah Pengeluaran i-Lestari

Amaun Pengeluaran i-Lestari yang layak dikeluarkan adalah sebanyak minimum RM50 dan maksimum RM500 sebulan; tertakluk kepada jumlah simpanan yang ada di dalam Akaun 2 semasa bayaran pengeluaran bagi bulan berkenaan dibuat.

Jika jumlah simpanan Akaun 2 adalah kurang daripada amaun yang dimohon, maka amaun pengeluaran untuk bulan berkenaan adalah berdasarkan jumlah tersebut.

Bilakah bayaran untuk permohonan yang diluluskan akan dibuat kepada ahli?

Bagi permohonan pengeluaran yang diterima pada bulan April 2020, bayaran akan dibuat bermula pada bulan Mei 2020.

Manakala bagi permohonan pengeluaran yang diterima selepas bulan April 2020, bayaran pengeluaran bermula daripada tarikh permohonan pengeluaran diterima oleh KWSP.

Permohonan untuk mengubah amaun bayaran pengeluaran.

Ahli tidak boleh mengubah amaun pengeluaran bulanan berulang yang telah diluluskan.

Saluran penghantaran borang permohonan Pengeluaran i-Lestari

Borang permohonan yang lengkap diisi boleh dihantar kepada KWSP mulai 1 April 2020 melalui kaedah-kaedah berikut:

  1. Secara dalam talian melalui e-Pengeluaran dalam i-Akaun (Ahli)
  2. Secara e-mel yang dialamatkan kepada: [email protected]; atau
  3. Secara hantaran pos kepada alamat :

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Karung Berkunci No 220, Jalan Sultan 46720, Petaling Jaya dengan catatan (UP : i-Lestari ) pada bahagian hadapan sampul surat

Ahli disarankan untuk menghantar permohonan secara dalam talian (e-Pengeluaran) untuk mempercepatkan proses kelulusan.

Permohonan secara manual yang dihantar melalui kaedah (b) dan (c) akan mengambil masa yang lebih lama untuk diproses.

Permohonan pengeluaran oleh ahli bukan warganegara Malaysia hanya boleh dihantar melalui kaedah (b) dan (c) sahaja.

Mengapakah amaun Pengeluaran i-Lestari terhad kepada maksimum RM500 dan secara bulanan?

Pengeluaran i-Lestari ini bertujuan untuk meringankan beban kewangan ahli untuk memenuhi keperluan asas bulanan dalam tempoh pandemik COVID-19 ini. Jumlah maksimum RM500 sebulan ini adalah jumlah yang berpatutan bagi menambah sumber kewangan ahli untuk memenuhi keperluan asas untuk bulan yang berkenaan.

Mengapakah kekerapan bayaran Pengeluaran i-Lestari terhad untuk sekali sebulan?

Kekerapan bayaran Pengeluaran i-Lestari sekali sebulan adalah kerana pengeluaran ini bertujuan untuk menambah sumber pendapatan bulanan ahli bagi memenuhi keperluan asas setiap bulan.

Mengapakah Pengeluaran i-Lestari hanya untuk tempoh setahun sahaja?

Tujuan i-Lestari adalah untuk membantu ahli meneruskan kelangsungan hidup ketika berdepan dengan pandemik COVID-19 pada ketika ini. Kerajaan akan terus memantau perkembangan situasi ini dan keperluan pengeluaran ini dari semasa ke semasa dan dijangka impak pandemik COVID-19 akan berakhir selepas tempoh tersebut.

Kesimpulan

KWSP bijak mengimbangi mandatnya untuk melindungi simpanan persaraan ahli dan pada masa yang sama menjaga kesejahteraan ahli mereka dalam waktu getir sebegini. Kepada yang mempunyai kesukaran ketika tempoh penularan wabak COVID-19, ini merupakan satu cara untuk anda memiliki aliran tunai agar dapat meneruskan kehidupan seperti biasa.

Akibat daripada belanjutannya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerajaan melalui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memperkenalkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bagi membantu rakyat dari segi kewangan ketika tempoh PKP ini.

Sumber: KWSP