
Bill Gates Letak Jawatan Sebagai Ahli Lembaga Pengarah Microsoft
Pengasas bersama Microsoft Corp, Bill Gates semalam mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai ahli lembaga pengarah Microsoft Corp.
Menurut sumber, peletakan jawatan berkenaan adalah bertujuan untuk mendedikasikan masanya lebih kepada isu kesihatan dunia, pendidikan dan perubahan iklim.
BACA: Selepas 10 Tahun, Microsoft Umum Penamatan Sokongan Windows 7 Secara Rasmi Hari Ini
Beliau yang tersenarai dalam individu terkaua dunia dengan aset harta mencecah USD100 bilion (RM430 bilion) juga dilaporkan meletakkan jawatan sebagai ahli lembaga pengarah Berkshire Hathaway Inc; milik Warren Buffett yang dipegang sejak 2004.
Terdahulu pada tahun 2014, Bill Gates telah meletakkan jawatan sebagai pengerusi Microsoft yang kemudiannya diisi oleh John Thompson, bekas Naib Pengerusi IBM.
Beliau kemudiannya menerusi Bill and Melinda Gates Foundation; sebuah pertubuhan yayasan amal bersama isterinya telah menyumbangkan dana sebanyak ratusan juta dolar dalam usaha menentang malaria, menghasilkan tandas untuk negara dunia ketiga seperti India dan benua Afrika serta mencari rawatan untuk wabak koronavirus.

Terkenal sebagai Bapa Revolusi Komputer Peribadi, Gates dihormati kerana cara pemikirannya yang berbeza dengan yang lain sehingga menyebabkan belia beberapa kali dihadapkan ke mahkamah berikutan dakwaan kes bersaing secara tidak adil.
Tersenarai sebagai individu pertama dalam 100 Orang Paling Berpengaruh Untuk Abad ke-20 pada tahun 2004 hingga 2006 oleh majalah TIME, beliau juga pernah memegang gelaran CEO of The Year pada tahun 1994 serta Top 100 Influential People in Media pada tahun 2001.
Merupakan pelajar cemerlang ketika di sekolah rendah terutamanya dalam mata pelajaran matematik dan sains, pada usia 13 tahun beliau sudah dihantar ke sekolah paling unggul di Seattle yang mana yuran tahunannya adalah sebanyak USD5,000 berbanding yiran Universiti Harvard pada ketika itu sebanyak USD1,760.
Pada usia 14 tahun, beliau sudah memulakan syarikat usaha sama bersama Paul Allen dan Paul Gilbert yang dikenali sebagai Traf-O-Data yang membina pengira trafik yang menyimpan data dalam pita yang ditekan.
Walaupun berjaya mendapatkan keuntungan bersih sebanyak USD20,000 pada tahun pertama, syraikat Traf0O-Data kehilangan sebahagian besar peluang perniagaan selepas daripada umur Gates diketahui umum.
Trending now



