Ulasan Trolls World Tour

Ulasan Filem: Lebih Banyak Genre Muzik Dalam Trolls World Tour

Trolls World Tour ialah sekuel kepada filem muzikal komedi Trolls yang ditayangkan pada tahun 2016.

Jika filem sebelum ini mengisahkan tentang puak monster yang anti-sosial dan percaya bahagia hadir apabila memakan puak troll, Trolls World Tour kali ini memaparkan perancangan jahat Queen Barb dari suku Rock yang ingin menukarkan semua suku Troll kepada zombi Rock.

Dalam sekuel kali ini, Poppy (Anna Kendrick) dan Branch (Justin Timberlake) mengetahui bahawa terdapat enam suku troll yang hidup di dunia ini, termasuk mereka. Enam suku troll ini dikhususkan untuk enam jenis muzik yang berbeza iaitu Funk, Country, Techno, Klasik, Pop, dan Rock.

Dari suku troll yang beraliran Hard-Rock, Queen Barb (Rachel Bloom), dengan bantuan ayahnya King Thrash, ingin menguasai dunia dengan menghancurkan semua jenis muzik lain untuk membiarkan rock berkuasa.

Ulasan Trolls World Tour

Pada awalnya, Queen Poppy menganggap utusan dari Queen Barb menyamai hasratnya iaitu ingin meraikan bersama genre berbeza tetapi akhirnya kantoi apabila mengetahui Barb hanyalah ingin memerangkapnya.

Mengetahui keadaan itu, Poppy dan Branch, bersama beberapa rakan mereka mula mengembara ke tanah muzik lain untuk menyatukanpadukan Troll secara harmoni untuk melawan Barb.

Bermulalah episod jelajah di setiap negara troll yang lain untuk memberitahu mereka niat jahat Queen Barb.

Ulasan Trolls World Tour

Filem ini membawa penonton mendengar pelbagai genre muzik dari klasik, jazz, techno, funk, country dari pelbagai latar suara yang hebat-hebat seperti Kelly Clarkson, Mary J Blige, Ozzy Osbourne, James Cordon dan Sam Rockwell.

Selain enam genre yang popular di atas, ada juga genre muzik yang semakin mendapat tempat di halwa telinga masyarakat kini iaitu muzik K-pop dan samba. Dalam sekuel ini, kumpulan Red Velvet turut menjadi sebahagian suku troll (tertanya juga muzik tradisional kita tidak dipaparkan ke?)

Sepanjang filem ini berlangsung, penonton banyak melihat paparan yang berwarna warni seperti berada di kilang Skittles. Medley lagu terdahulu yang pernah menjadi fenomena dunia turut dinyanyikan.

Ulasan Trolls World Tour

Secara ringkasnya, Trolls World Tour mahu tonjolkan kepada penonton bahawa tiada genre yang dikatakan paling benar dalam dunia muzik. Setiap genre yang wujud di dunia adalah disebabkan ada penerimaan dalam setiap golongan.

Maka, tiada istilah genre yang anda atau rakan anda dengar paling masuk akal. Tanpa muzik, hidup ini kosong.

Trolls World Tour sudah berada di seluruh pawagam Malaysia sekarang!

Rating: 8.5/10