Malindo Air Langgar Undang-Undang Sekiranya Potong Gaji Pekerja 1

Malindo Air Langgar Akta Kerja 1955 Sekiranya Potong 50% Gaji Kakitangan – NUFAM

Susulan penularan wabak koronavirus, satu memo telah dikeluarkan oleh Malindo Air yang mengarahkan pekerja untuk bercuti tanpa gaji selama dua minggu.

Bukan itu sahaja, gaji kakitangan juga dikatakan akan dipotong sehingga 50% dalam usaha menghadapi kekurangan pendapatan termasuklah menggantung penerbangan.

Malindo Air Langgar Undang-Undang Sekiranya Potong Gaji Pekerja

Ketua Pegawai Eksekutif Malindo, Mushafiz berkata langkah berkenaan terpaksa diambil dalam tempoh beberapa bulan akan datang sehinggalah keadaan kembali normal.

Mendapat perhatian Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (Nufam), sekiranya Malindo Air melaksanakan langkah berkenaan (pemotongan gaji) ianya akan melanggar undang-undang seperti yang termaktub dalam Akta Kerja 1955.

Seksyen 24 Akta Pekerjaan 1955 menjelaskan pemotongan gaji hanya dibenarkan untuk kes-kes tertentu sahaja sebagai contoh kekitangan dibayar lebih (overpaid), berhenti tanpa notis dan pemotongan cukai pendapatan.

Terkini, Kementerian Sumber Manusia (KSM) Malaysia, telah memperkenalkan satu garis panduan bagi mengendalikan isu-isu berhubung penularan wabak COVID-19 di tempat kerja.

Mengguna pakai dalam isu ini ialah Seksyen 60F Akta Kerja 1955, antara yang terkandung dalam seksyen ini ialah:

Pemeriksaan kesihatan

Mengarahkan pekerja untuk segera mendapatkan pemeriksaan kesihatan oleh pegawai perubatan atas pembiayaan majikan.

Tempoh Kelayakan Cuti Sakit Bergaji (Tanpa Hospitalisasi)

Dalam setahun kalendar sekurang-kurangnya adalah seperti berikut:

i. 14 hari jika tempoh bekerja <2 tahun.
ii. 18 hari jika bekerja antara 2- 5 tahun.
iii. 22 hari jika bekerja >5 tahun.

Cuti Sakit Bergaji

Majikan perlu memberikan cuti sakit bergaji atau kelayakan hospitalisasi sepanjang tempoh rawatan di hospital bagi pesakit yang disahkan mempunyai simptom jangkitan COVID-19.

Arahan Kuarantin

Bagi pekerja yang diberi arahan kuarantin melebihi tempoh kelayakan cuti sakit atau hospitalisasi, majikan digalakkan untuk memberi kemudahan bayaran tambahan kepada pekerja bagi tujuan menjaga keharmonian hubungan pekerja dan majikan.

Sekiranya majikan tidak membenarkan cuti sakit bergaji, ia merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 60F.

BACA: Ketahui Hak Anda Sebagai Pekerja Sepanjang Musim COVID-19

Seksyen 60E (1B) Akta Kerja 1955

Perintah Kuarantin

Pekerja yang diberi perintah Kuarantin atau Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah Kediaman tempoh kuarantin tidak boleh dipaksa menggunakan cuti tahunan sepanjang tempoh kuarantin tersebut kerana cuti tahunan merupakan suatu hak pekerja.

Majikan juga tidak boleh melarang pekerja datang bekerja tanpa Perintah Kuarantin atau Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah
Kediaman dikeluarkan oleh pengamal perubatan berdaftar kepada pekerja. Bagaimanapun, majikan boleh mengarahkan mana-mana pekerja yang tidak sihat untuk tidak hadir bekerja dan membenarkan cuti bergaji dibayar kepada pekerja tersebut.

Majikan boleh mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk mengelakkan pemberhentian pekerja sebagaimana yang disyorkan di dalam Tatacara Untuk Keharmonian Perusahaan iaitu:

a. Menghadkan kerja lebih masa;
b. Mengurangkan hari-hari bekerja dalam seminggu atau mengurangkan
bilangan kerja seminggu;
c. Mengurangkan waktu bekerja harian;
d. Melaksanakan pemberhentian kerja sementara misalnya dalam bentuk penutupan sementara dengan menawarkan
gaji yang berpatutan dan membantu mereka mendapatkan kerja sementara di tempat lain sehingga operasi dapat diteruskan semula;
e. Mengurangkan gaji pekerja yang dibuat secara adil di semua peringkat boleh dilaksanakan sebagai langkah terakhir selepas langkah-langkah penjimatan kos lain telah dilaksanakan.

Sumber: FMT