Latheefa Koya Sah Letak Jawatan SPRM

Latheefa Koya Sahkan Letak Jawatan Sebagai KP SPRM

Desas-desus pada Khamis telah terjawab apabila Latheefa Koya yang menyandang jawatan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah meletakkan jawatan susulan perubahan dalam kerajaan.

Memetik sumber berita, Latheefa telah berjumpa dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pagi Khamis sebelum ke mahkamah sebagai saksi ke-13 pembelaan memberi keterangan pada perbicaraan hari ke-88 kes SRC International membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Latheefa dilantik untuk memegang jawatan tersebut untuk tempoh kontrak selama dua tahun berkuat kuasa 1 Jun lalu dan timbalannya Datuk Seri Azam Baki dikatakan menggantikannya mulai Isnin ini.

Laporan media mengatakan beliau meletakkan jawatan atas pilihannya sendiri dan bukannya ditekan seperti yang dicanangkan.

Latheefa Koya Sah Letak Jawatan SPRM
Sumber: The Star

Latheefa dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM berkuat kuasa 1 Jun tahun lalu, bagi tempoh kontrak selama dua tahun.

Beliau menggantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang memohon kontraknya dipendekkan daripada yang sepatutnya pada 17 Mei 2020.

Pelantikan Latheefa bagaimanapun mengundang kritikan, antara lain dikatakan bercanggah dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) mengenai lantikan politik dan menjejaskan fungsi SPRM sebagai badan bebas.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengakui beliau sendiri memilih Latheefa kerana perwatakannya yang tegas, bercakap apa yang benar dan tidak menipu.