The Invisible Man

Ulasan Filem: The Invisible Man

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

The Invisible Man, adaptasi filem seram klasik dengan nafas baharu telah ditayangkan di seluruh pawagam Malaysia mulai hari ini.

The Invisible Man mengisahkan tentang seorang wanita, Cecilia (Elisabeth Moss) yang mengalami masalah trauma disebabkan hubungannya dengan teman lelaki, Adrian (Oliver Jackson) yang sering menderanya secara psikologi selama mereka berpasangan.

Suatu hari, Cecilia berjaya melarikan diri dari rumah mewah milik teman lelakinya dan tidak berjumpa lagi selepas itu. Selang dua minggu, Cecilia menerima berita mengejut bahawa Adrian telah membunuh diri dan segala harta milik teman lelakinya itu menjadi miliknya dengan bantuan guaman adik kepada Adrian.

Selepas kejadian, Cecilia menjalani kehidupan seperti biasa namun tidak berpanjangan apabila dia merasakan sesuatu yang aneh berlaku disekeliling dan mula mengesyaki bahawa bekas teman lelakinya itu sebenarnya masih belum mati.

Apabila pihak polis tidak mempercayai kisahnya, dia bertindak untuk membuktikannya dengan cara sendiri.

Setiap watak dalam cerita ini berjaya memainkan peranan penting seperti Cecilia, berjaya mempamerkan sisi seseorang itu apabila terjebak dengan hubungan tidak sihat bertahun-tahun. Perasaan tertekan dan rasa takut yang tidak dapat digambarkan kerana orang sekeliling tidak mempercayainya jelas terlihat dan dipamerkan Cecilia.

Ulasan Filem The Invisible Man

Sehinggakan penonton menjangkakan bahawa Cecilia hanyalah berkhayalan dan segala kejadian yang dialaminya itu palsu (yang sebenarnya tidak).

Pembawaan setiap babak dalam filem ini akan membuatkan penonton tertanya-tanya siapakah yang benar dan sebaliknya.

Pada awal penceritaan, agak sedikit lambat namun berjaya diselit dengan unsur tegang yang membuatkan penonton berasa berdebar. Jika anda rasa melihat trailernya seperti filem cliche, mungkin anda silap kerana lebih banyak kejutan dan plot twist yang menarik sepanjang filem ini berlangsung.

Ulasan Filem The Invisible Man

Kesan bunyi dalam The Invisible Man juga menjadi kekuatan filem ini yang bergenre seram psikologi. Kesan bunyi tipikal filem seram boleh didengar sepanjang filem dan menambah elemen jahat walaupun kemurungan dan mungkin tidak selesa untuk sesetengah orang.

Tahukah anda, The Invisible Man mencatat kutipan sebanyak US$29 juta di Amerika Utara pada minggu pertama dan kos filem ini dibuat hanyalah sekitar US$9 juta sahaja.

Rating: 8/10