Orang Asli Berdemo Bantah Hutan Simpan

Orang Asli Berdemo, Kesal Dengan Tindakan MB Selangor Mansuh Hutan Simpan

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Rata-rata media semalam banyak memfokuskan isu penubuhan kerajaan baharu sejak Perdana Menteri ke-7, Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan.

Kita disajikan dengan berita-berita pengamal media ‘berkampung’ di beberapa tempat tumpuan untuk mendapatkan perkembangan terkini proses peralihan terutama di hadapan pintu pagar Istana Negara.

Jika pengamal media diberi perhatian dengan membantu mereka menyediakan sedikit makanan dan minuman, kita juga jangan menganaktirikan isu penempatan Orang Asli berhubung pemansuhan status Hutan Simpan Kuala Langat Utara.

Semalam juga, seramai 300 masyarakat Orang Asli yang tinggal berhampiran Hutan Simpan Kuala Langat Utara hadir ke Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) hari ini bagi menghantar memorandum bantahan kepada kerajaan negeri Selangor.

Wakil Orang Asli Kuala Langat, Rahman Pahat berkata beliau juga mahu berjumpa dengan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari bagi menuntut pertimbangan supaya status hutan itu tidak dinyahwartakan.

BACA: Mansuh Hutan Simpan Kuala Langat Utara Untuk Pembangunan Bercampur?

Menurut mereka, hutan simpan itu sudah diduduki sejak 1845 dan kesal dengan tindakan MB Selangor yang mahu menyahwartakan hutan tersebut.

“Hutan simpan tempat kami. Dari dulu hingga sekarang kami sayang hutan itu. Terlalu lama, sejak dari kecil dari nenek moyang kami.”

Rahman berkata, ini kali kedua beliau menyatakan bantahan terhadap cadangan penyahwartaan itu dan berharap dapat bertemu dengan Amirudin.

Katanya, jika hutan itu dimansuhkan, ini menyebabkan sumber orang Asli Kuala Langat Utara akan terjejas.

Hutan Simpan Kuala Langat Utara Bakal Dimansuhkan

Pada 20 Feb, cadangan untuk memansuhkan status Hutan Simpan Kuala Langat Utara adalah disebabkan 40% kawasan itu tidak lagi mempunyai elemen hutan dara, selain mengelak aktiviti pembakaran hutan secara haram berulang.

Bantahan turut disuarakan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) susulan hutan itu kaya dengan sumber biodiversiti unik termasuk spesies tupai pygmy yang hanya boleh ditemui di kawasan berkenaan.

Orang ramai juga boleh menyalurkan bantahan melalui petisyen ‘Selamatkan Hutan Simpan Kuala Langat Utara’.

Sumber: FMT