Kabinet Kerajaan Bersifat Interim

Kedudukan Kabinet Kini Bersifat ‘Caretaker’ Sementara Menanti Penubuhan Kerajaan Baharu

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Pakatan Harapan (PH) tidak lagi mempunyai majoriti untuk membentuk Kerajaan Pusat susulan keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan 11 Ahli Parlimen PKR keluar gagasan itu.

Memetik sumer Sinar Harian, Pensyarah Kanan Pusat Polisi Perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, jemaah Kabinet menteri sedia ada juga bersifat interim sahaja sementara menanti penubuhan kerajaan baharu.

“Kelazimannya apabila berlaku keretakan dalam parti pemerintah dan menyebabkan kerusi Ahli Parlimen menyokong kerajaan kurang daripada kerusi majoriti, situasi kerajaan berlaku ketika itu adalah kerajaan minoriti.

“Senario ini pernah berlaku di Australia, United Kingdom dan beberapa negara lain namun situasi semasa di negara kita adalah masalah perpecahan dalam parti kerajaan berlaku seiring peletakan jawatan Perdana Menteri.

Justeru, disebabkan tiada tokoh dalam ahli Parlimen kerajaan mendapat majoriti jelas bagi menggantikan tempat Perdana Menteri, Kabinet sedia ada kini adalah lebih bersifat ‘caretaker’ dan interim.

Peranan Agong Dalam Pembentukan Kerajaan
Sumber: Flickr

Sementara itu, Dr Muhammad Fathi menegaskan hanya Agong sahaja yang layak menentukan keputusan sama ada berlaku penubuhan kerajaan baharu atau menilai tokoh pemimpin yang mendapat sokongan majoriti rakyat sebagai Perdana Menteri.

BACA: Landskap Politik Malaysia Ketika Ini: Peranan Penting Agong Dalam Pembentukan Kerajaan

Dalam perkembangan lain, beberapa wakil rakyat yang memegang jawatan menteri mengeluarkan kenyataan memohon maaf sepanjang tempoh lantikan dan mendoakan semoga nasib rakyat akan terus berubah di bawah kepemimpinan kementerian yang baharu nanti.

Sumber: Sinar Harian