
Lelaki Pandu Kereta Mewah Cenderung Berperangai Buruk – Kajian
Berdepan dengan perangai buruk segelintir pengguna jalan raya kadang-kadang boleh membuatkan kita sakit jiwa dan perlu menahan sabar.
Selain jengkel dengan beberapa perangai pemandu yang malas menggunakan signal, pemandu yang berasa dia sahaja yang betul dalam semua perkara juga buat kita pening kepala.
Rakyat Malaysia turut berpendapat, segelintir mereka yang memandu kereta mewah ini tidak begitu bertimbang rasa di atas jalan raya. Mungkin tanggapan ini ada betulnya kerana sebuah kajian baharu dalam Journal of International mendapati bahawa ramai pemilik kereta mewah (lelaki) sebenarnya mempunyai gaya pemanduan buruk di atas jalan raya.
Hasil kajian mendapati, mereka yang memandu kereta mewah seperti Audi, BMW dan Mercedes-Benz bersifat mementingkan diri, keras kepala, gemar bersengketa, dan tidak setuju dengan pandangan orang lain.
Kajian itu mengambil sampel 1,892 pemilik kenderaan di Finland dengan menganalisis jenis personaliti berdasarkan hipotesis yang dibuat oleh Jan-Erik Lönnqvist.
Kata Lönnqvist, pemandu jenis kenderaan ini cenderung untuk melanggar lampu isyarat merah, tidak memberi laluan kepada pejalan kaki dan memandu secara melulu.

Beliau yang merupakan seorang professor kajian sosial di Universiti Helsinki mendapati kebanyakan perangai buruk itu dimiliki oleh mereka yang memandu kenderaan mewah.
Dan ini bukanlah kajian kali pertama kerana kajian sebelumnya mendapati bahawa kereta mewah lebih cenderung mengabaikan peraturan jalan raya sehinggakan timbul persoalan adakah kekayaan mempengaruhi tingkah laku seseorang itu?
Tapi, kita pasti tidak semua yang memandu kenderaan mewah berperangai buruk. Dalam kajian itu juga mendapati bahawa mereka yang bercita-cita tinggi, dihormati dan berkeperibadian tinggi juga terdiri dalam kalangan pemilik kenderaan mewah.
Sumber: Mekanika
Trending now



