
Dakwaan Rasuah AirAsia: Tony Fernandes, Kamaruddin Lepaskan Jawatan Eksekutif
Berikutan siasatan rasuah Airbus yang melanda baru-baru ini, Pengerusi Eksekutif AirAsia Group Bhd (AAGB), Datuk Kamarudin Meranun dan Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Sri Tony Fernandes melepaskan jawatan eksekutif mereka dalam kumpulan berkuat kuasa serta-merta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kedua-dua mereka melepaskan jawatan untuk tempoh dua bulan atau jangka masa yang difikirkan sesuai oleh syarikat.
Namun, jawatankuasa Lembaga Pengarah Bebas Bukan Eksekutif yang dibentuk oleh Lembaga Pengarah AirAsia membuat keputusan mengekalkan Kamarudin dan Tony sebagai penasihat syarikat dalam tempoh berkenaan.
Ini bermakna, jawatan Tony dan Kamarudin akan ditukar sebagai ahli lembaga pengarah bukan eksekutif AirAsia.
Sementara itu, AirAsia memaklumkan Tharumalingam Kanagalingam dilantik sebagai pemangku interim Ketua Pegawai Eksekutif Airasia Group Bhd.
Tiga hari lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan sudah menjalankan siasatan berhubung dakwaan rasuah membabitkan Airbus dan dua eksekutif dari AirAsia, seperti didedahkan portal United Kingdom (UK).
Menurut portal tersebut, Airbus didakwa membayar RM204 juta dan menawarkan RM225 juta lagi untuk menaja sebuah pasukan sukan yang mempunyai kaitan dengan dua individu berpengaruh di AirAsia and AirAsiaX.
Airbus juga didakwa menggunakan belanjawan tahunan sehingga RM1.2 bilion untuk merasuah pegawai kerajaan dan pembuat keputusan bagi memastikan pembelian pesawat keluarannya.
Hasil kegiatan itu, ia berjaya melonjakkan keuntungan syarikat sehingga lebih RM4.1 bilion dan disifatkan sebagai kes rasuah korporat terbesar setakat ini.
Sumber: Awani
Trending now



