Iran AS Cetus Perang Dunia Ketiga

Konflik AS-Iran Semakin Tegang, Bakal Cetus Perang Dunia Ketiga?

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Komander tertinggi Iran, Qasem Soleimani disahkan terbunuh dalam serangan udara di Baghdad pada hari ini. Soleimani terbunuh apabila pesawat yang dinaikinya ditembak sejurus selepas mendarat di lapangan terbang antarabangsa Baghdad.

Didakwa serangan itu berpunca daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mengarahkan pembunuhan komander Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran dalam tindakan mempertahankan diri bagi melindungi kakitangan AS di luar negara.

Ia disahkan oleh pasukan unit separa tentera Hashed al-Shaabi, iaitu unit separa tentera yang berjuang bersama tentera menentang kumpulan pelampau Daish. Turut terbunuh, timbalan ketua pasukan berkenaan.

Serangan itu selepas perusuh pro-Iran mengepung kedutaan AS. Menurut tentera Iraq, lapangan terbang itu dihujani dengan serangan roket selepas tengah malam.

Iran AS Cetus Perang Dunia Ketiga
Sumber: AP News

“Jeneral Soleimani secara aktif membangunkan rancangan untuk menyerang diplomat dan anggota perkhidmatan AS di Iraq dan di seluruh rantau itu.

“Jeneral Soleimani dan Quds Force bertanggungjawab atas kematian ratusan anggota perkhidmatan AS dan pakatan dan mencederakan ribuan lain,” kata Jabatan Pertahanan AS.

Jeneral Soleimani bukanlah orang sembarangan. Beliau dinilai sebagai salah seorang tokoh terkenal dan berpengaruh di Iran serta turut dimusuhi AS. Bahkan, beliau pernah tersenarai 100 orang berpengaruh dalam majalah TIME dua tahun lalu.

“Bagi kumpulan Syiah di Timur Tengah, Soleimani seperti James Bond, Erwin Rommel, dan Lady Gaga yang digabungkan sebagai satu,” tulis bekas penganalisis CIA, Kenneth Pollack, dalam majalah TIME 2017.

Kematiannya dijangka akan membangkitkan persengketaan antara dua negara itu. Perkhabaran ini menjadi buah mulut netizen seluruh dunia yang merasakan bakal berlakunya Perang Dunia Ketiga.

Menyusuli kematian Soleimani, Trump memuat naik gambar bendera AS di Twitter tanpa sebarang penjelasan lanjut.

https://twitter.com/realDonaldTrump/status/1212924762827046918

Sumber: CNN, FMT, HM