Tere Liye Kagum Filem Ejen Ali

Filem Ejen Ali Sama Hebat Dengan Produksi Amerika Dan Jepun – Novelis Hafalan Shalat Delisa

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Selepas berjaya mencatat kutipan RM28 juta dalam tempoh tiga minggu tayangan di Malaysia, Singapura dan Brunei, filem Ejen Ali The Movie kini mengorak langkah apabila melebarkan sayap ke Indonesia.

Telah ditayangkan bermula 1 Januari di 100 buah pawagam seluruh Indonesia, pastinya akan mampu mencipta fenomena luar biasa. Salah seorang penonton Indonesia yang juga seorang novelis, Tere Liye berkongsi pengalamannya menonton salah satu filem animasi kebanggaan rakyat Malaysia.

Menurut Tere Liye, Ejen Ali: The Movie dikatakan sebuah naskhah yang sangat baik. Berbeza dengan Boboiboy dan Upin dan Ipin, beliau mengakui tidak tahu apa-apa tentang watak Ejen Ali tetapi tidak menghalangnya daripada menikmati filem tersebut.

Tere Liye Kagum Filem Ejen Ali
Sumber: Tribun Timur

“Lima minit pertama, filem ini hebat. 30 minit pertama juga tetap hebat. Sampai habis cerita pun masih hebat. Kualiti animasinya mengagumkan. Tidak kalah dengan produksi Amerika dan Jepun,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Tambah penulis novel Hafalan Shalat Delisa itu, filem Ejen Ali cukup memuaskan dengan aksi dan misteri serta unsur drama yang mampu membuatkan penonton menangis dan pada masa yang sama tetap memasukkan unsur komedi.

Tere Liye Kagum Filem Ejen Ali

Tere Liye turut menyatakan satu perkara yang paling disukainya dalam filem itu ialah elemen tempatan yang disaji dengan penuh kebanggaan oleh kumpulan produksi yang menurutnya menjadi fokus utama.

“Bermula dari makanan, pakaian, kebiasaan dan hingga hal-hal rinci. Pakaian yang dikenakan Niki adalah batik, makanannya sate, ditambah dengan ejen-ejen yang berkerudung (berhijab).

“Jika filem lain hal ini cuma jadi pelengkap dan alat promosi untuk menarik pasaran tertentu, di filem ini ia jelas menjadi menu utamanya,” katanya.

Beliau turut mengesyorkan filem Ejen Ali ditonton oleh kanak-kanak di negara itu dan meminta kurangkan membawa anak-anak menonton filem yang tidak bersesuaian dengan umur mereka.

Sumber: Tere Liye