Tsunami 2004

Mangsa Tsunami 2004 Kongsi Peristiwa Pahit Untuk Generasi Masa Depan Ambil Iktibar

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Hari ini, 26 Disember genap 15 tahun tsunami mengganas di beberapa negara di rantau ini dan bagi mereka yang terlibat, pasti kejadian itu masih segar dalam ingatan dan merupakan peristiwa pahit yang sentiasa dikenang di mana ratusan ribu nyawa terkorban seperti di Aceh Indonesia, Thailand, India, Sri Lanka dan Malaysia sendiri.

Seperti bagi sebahagian penduduk di Aceh, peristiwa itu memberi kesan mendalam kepada mereka. Armilla, salah seorang mangsa tsunami yang kini bertugas sebagai pegawai pemandu Muzium Tsunami Aceh akan berkongsi pengalaman tentang peristiwa hitam itu kepada para pengunjung.

“Memandangkan saya mengalami sendiri trauma kejadian tsunami, apabila saya bertemu dengan para pengunjung saya akan berkongsi pengalaman…dan mereka tidak akan dapat melupakannya,”kata wanita berusia 44 tahun itu.

Lebih daripada 230,000 orang terbunuh di Indonesia, Sri Lanka, India, Thailand dan sembilan lagi negeri apabila gempa bumi sekuat 9.1 magnitud di kawasan perairan wilayah Aceh di Indonesia mencetus tsunami setinggi 17.4 meter.

Wilayah Aceh utara mengalami kerosakan teruk, di mana 128,858 orang terbunuh dan lagi 37,087 disenaraikan sebagai hilang.

Tsunami 2004
Sumber: Twitter

Di Pulau Pinang, kisah tsunami akan terus segar terpahat dalam ingatan seorang peniaga A Suppiah dan anaknya S Thulaasi, “bayi ajaib tsunami” yang baru 22 hari dilahirkan semasa kejadian ombak besar itu.

Dalam peristiwa itu badai tsunami yang menghempas Pantai Miami, Batu Ferringhi pada 2004 telah menghanyutkan seorang bayi yang sedang nyenyak tidur di atas tilamnya ke tengah laut dan apabila datang gelombang kedua pula dengan kehendak Tuhan bayi itu telah didamparkan ke pantai.

Tsunami 2004
Sumber: Bernama

Peristiwa itu menginsafkan Suppiah, 70, yang pada mulanya beliau berasa marah dan kecewa dengan kejadian itu kerana kedai dan semua barangnya musnah dipukul ombak kuat namun selepas dua hari kejadian apabila membaca akhbar bahawa ratusan ribu orang maut akibat kejadian itu sedangkan beliau serta keluarganya terselamat.

Justeru Suppiah berkata setiap tahun pada tarikh 26 Dis , beliau akan mengadakan upacara sembahyang bagi mengenang mangsa-mangsa yang maut dalam kejadian itu selain mengadakan upacara menolak bala.

Peristiwa itu juga membuatkan Suppiah sering menitipkan nasihat kepada anaknya yang terselamat itu agar menjadi seorang yang akan membantu sesiapa sahaja di kala kesusahan tanpa mengira umur.

Di Malaysia, Pulau Pinang adalah antara negeri yang paling terjejas yang mencatatkan 52 daripada 68 kematian di seluruh negara.

Tsunami 2004
Sumber: Facebook

Sumber: Awani, Berita Mediacorp