Rumah Tanpa Tingkap

Gara-Gara Kerap Dirompak, Lelaki Ini Ambil Keputusan Bina Rumah Tanpa Tingkap

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Lazimnya, selain menganggap rumah hanyalah sebuah tempat berteduh dan tempat untuk memulakan rutin harian, bagi sesetengah orang ingin menjadikan rumah mereka sebuah mahligai yang sedap dipandang mata untuk didiami.

Kebanyakan rumah yang dibina menjurus untuk membenarkan pencahayaan semula jadi dengan beberapa tingkap bagi pengalihan udara. Namun, sebuah rumah di kawasan perumahan di Perlis ini berbeza dengan rumah lain kerana ia dibina tanpa sebarang tingkap.

Pemilik rumah unik ini, Mohammad Hanif Allah Pitchay mempunyai alasan tersendiri untuk membina rumahnya dengan dua pintu sahaja. Menurut Hanif, rumahnya pernah menjadi mangsa pencurian sebanyak dua kali mengakibatkan beliau kehilangan sejumlah wang dan motosikal. Kejadian itu membuatkan beliau mengambil keputusan ‘membuang’ semua tingkap.

Rumah Tanpa Tingkap
Sumber: Bernama

Memetik laporan Bernama, ruang dalam rumah teres itu didapati suasananya sedikit malap, hanya samar-samar cahaya matahari yang menerjah masuk menerusi pintu dan ruang udara kipas ekzos yang dipasang dalam rumah.

Idea mengubah suai rumah tanpa tingkap juga datang daripada ibunya kerana menganggap ruang tingkap sangat leceh untuk dijaga. Menurut Hanif, dengan ketiadaan tingkap kerja hariannya menjadi lebih mudah dan beliau gembira dengan kelainan pada rumahnya itu.

Kos mengubah suai rumah yang berkeluasan 20 kaki panjang dan 16 kaki lebar itu yang mempunyai dua ruang tamu, dua bilik air dan lima bilik tidur termasuk pejabat mini serta sebuah dapur menelan belanja hampir RM100,000.

Mengenai keselamatan rumah, beliau memasang kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar rumahnya bagi mengesan kehadiran tetamu serta sistem penggera pada pintu hadapan dan pintu belakang. Pada waktu siang, lampu hanya dibuka untuk kegunaan tertentu sahaja kerana cahaya dari luar yang masuk sudah mencukupi.

Rumah Tanpa Tingkap
Sumber: Bernama

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis, Ruhisya Haris berkata tiada kesalahan dari segi keselamatan bagi pembinaan rumah tanpa tingkap, selagi pemilik kediaman persendirian tahu mengendalikan sistem keselamatan kebakaran dan tidak menjalankan aktiviti berbahaya atau membuat stor penyimpanan gas di rumah.

Sumber: Bernama, Awani