Iklan Sugar Daddy Di Kuala Lumpur

Terkejut Papan Iklan ‘Sugar Daddy’ Di Sekitar Kuala Lumpur, Siapa Yang Benarkan?

Tidak tahu siapa yang membenarkan, papan iklan elektronik yang memaparkan perkhidmatan ‘sugar daddy’ di sekitar kawasan Kuala Lumpur mencetuskan kontroversi dalam kalangan netizen.

Memetik laporan ProjekMM, salah satu papan iklan itu terletak tidak jauh dari sebuah masjid di Bangsar Baru dengan memaparkan seorang wanita sedang tersenyum sambil memeluk bahu seorang lelaki berumur. Difahamkan iklan tersebut telah beroperasi sejak 3 Disember lalu.

Tinjauan dari Facebook syarikat yang bertanggungjawab memaparkan iklan itu, ia merupakan perkhidmatan rangkaian dalam talian yang memberi tumpuan kepada privasi pelanggan untuk membina hubungan dengan imbuhan secara sah. Bagaimanapun perkongsian maklumat tersebut di Facebook itu menerima kecaman daripada netizen.

Iklan Sugar Daddy Di Kuala Lumpur
Sumber: FB

Isu ini telah disuarakan oleh netizen kerana pelik dan hairan bagaimana pihak berkuasa boleh melulus dan membenarkan iklan perkhidmatan sedemikian dipaparkan di tempat awam.

Aduan netizen berkaitan iklan itu telah diterima dan kemudian diturunkan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Menurut wakil rakyat Lembat Pantai, Fahmi Fadzil memaklumkan setakat jam 10 malam tadi, iklan itu telah dibuang kerana tidak sesuai dan tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan.

Bagaimanapun, masih menjadi tanda tanya bagaimana iklan seumpama itu boleh disiarkan di papan iklan besar di kawasan tumpuan orang awam.