penanaman daun ketum bantu ekonomi

Taraf Ekonomi Penduduk Lebih Stabil Dengan Tanaman Ketum – MP Padang Besar

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Sehingga hari ini, penggunaan daun ketum secara terbuka masih diperdebatkan. Ada yang mempertahankan pengunaan daun ketum tidak membawa kemudaratan dan sebaliknya.

Negara seperti Amerika Syarikat dan Thailand juga sudah mula menanam tumbuhan herba ini.

Bagi Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin, mencadangkan penanaman ketum sebanyak lima pokok bagi setiap rumah kerana ia dilihat mampu membantu taraf ekonomi penduduk tempatan terutama golongan pekebun kecil. Kestabilan ekonomi penduduk tempatan mampu mengelakkan mereka daripada mengharapkan subsidi daripada kerajaan.

Menurutnya, ganja dan ketum adalah dua perkara yang berbeza dan terletak di bawah akta yang berlainan.

penanaman daun ketum bantu ekonomi
Sumber: Mstar

“Ketum mempunyai nilai perubatan yang tinggi dan dapat menambah pendapatan penduduk terutama ketika harga sawit dan getah mengalami kejatuhan,” katanya.

Tambah Zahidi, jika tanaman ketum dibenarkan kerajaan tidak lagi perlu mengeluarkan subsidi kepada pekebun kecil. Kerajaan pula boleh mengenakan cukai ke atas penjualan ketum dan hasil cukai berkenaan boleh digunakan untuk mengadakan program motivasi, cegah dadah dan sebagainya.

Namun, bagi mereka yang pakar dalam bidang perubatan menyatakan bahawa ketum masih lagi berbahaya untuk kegunaan awam. Majlis Fatwa Kebangsaan telah pun mengeluarkan hukum bahawa ketum adalah haram.

Menerusi kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri:

“Daun ketum meskipun ada faedahnya, namun mafsadahnya (kerosakan) lebih besar dan tidak hairanlah kerajaan Malaysia juga telah mengharamkannya melalui Akta Racun 1952, Seksyen 30 (3) dengan menyebutnya sebagai bahan psikotropik. Ini juga secara tidak langsung kaedah sad al-Zari’ah (menutup jalan-jalan mudarat) telah digunakan bagi membendung permasalahan penyalahgunaan daun ketum.”

Sementara itu, pihak berkuasa hanya akan menguatkuasakan undang-undang sedia ada berkaitan ketum.

Sumber: Sinar Harian