
Pengarah Venom Sahkan Bakal Ada ‘Crossover’ Dengan Spider-Man
Tahun ini sahaja kita dipertontonkan dengan drama antara Sony dan Disney mengenai karakter Spider-Man dan ia telah disahkan karakter adiwira remaja itu akan kembali dalam filem MCU seterusnya.
Sekembalinya karakter Spider-Man, turut akan berlaku pertembungan dunia sinematik dengan karakter anti-hero Venom. Perkara ini telah disahkan oleh bekas pengarah Venom, Ruben Fleischer.
Bagaimanapun, Fleischer tidak terlibat dalam filem Venom yang akan datang, tetapi beliau memberitahu pasti akan ada pertembungan Peter Parker lakonan Tom Holland dengan Eddie Brock lakonan Tom Hardy.
“Di situlah semuanya akan bermula. Dan itulah perkara yang menarik, kerana kita mengubah kisah asal Venom – dalam komik, Venom berevolusi daripada Spider-Man tetapi kerana hal Marvel-Sony kita tidak dapat melakukannya. Dan jadi perkara yang saya rasa ia membina ke arah itu… yang mana kita tidak sabar melihat bagaimana mereka saling berhadapan antara satu sama lain,” kata Fleischer kepada Fandom.
Pertembungan ini pasti memberi keterujaan kepada peminat tetapi tidak dapat pastikan bagaimana ia disesuaikan memandangkan kisah asal Eddie Brook dalam filem Venom (2018) tidak berkait dengan Spider-Man.
Setakat ini, filem Venom 2 akan ditayangkan pada Oktober 2020, manakala filem ketiga Spider-Man telah ditetapkan tarikh tayangan pada Julai 2021. Apa pun, kita nantikan perkembangan mengenai pertembungan Spider-Man dengan Venom.
Sumber: Screen Rant
Trending now



