China Musnahkan Kubur Etnik Uighur

Tulang Bertaburan, Kubur Diratakan: Ini Nasib Perkuburan Etnik Uighur

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Sejak beberapa tahun lalu, etnik Uighur di Xinjiang dilaporkan telah menerima layanan buruk daripada kerajaan China yang mana China didapati telah melanggar hak asasi manusia terhadap etnik minoriti berbangsa Turki tersebut.

Laporan yang dikeluarkan oleh Pemantau Hak Asasi Manusia (HRW) mendapat liputan meluas daripada media global termasuklah Al-Jazeera yang turut disahkan oleh Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mendapati kebebasan etnik ini telah disekat ketat oleh pihak polis China.

Walau bagaimanapun, China kemudiannya menolak laporan tersebut dengan alasan tindakan tersebut diambil bagi menyekat fahaman pengganas dan pelampau di China. China mahukan golongan minoriti ini bergaul dan menekan agama serta amalan budaya yang bertentangan dengan ideologi komunis dan penguasaan budaya etnik Han.

China Musnahkan Kubur Etnik Uighur 1

Pada tahun 2015, kerajaan China mengakui mereka pernah mengambil organ tahanan yang menjalani hukuman mati namun menafikan sama ada ianya membabitkan etnik Uighur dan Falon Gong.

Isu ‘pencurian organ’ ini kembali naik akhir bulan lalu apabila sebuah pertubuhan di China mendakwa kerajaan China telah mengambil jantung, buah pinggang, paru-paru dan kulit daripada ahli kumpulan agama termasuk kedua etnik tersebut dalam keadaan mangsa masih hidup.

Awal Februari lalu, laporan PBB mendedahkan hampir sejuta orang (terkini: tiga juta orang) etnik Uighur dan minoriti berbahasa Turki di China yang telah ditahan di kem pendidikan semula telah dijadikan sebagai subjek seksaan, ideologi politik, pusat tahanan dan penjara.

Pihak berkuasa China turut dilaporkan menggunakan sistem teknologi pengenalan wajah secara meluas bagi mengesan etnik ini di seluruh China berdasarkan penampilan mereka melalui rangkaian kamera.

Malah, menurut imej satelit yang dirakam pada tahun 2014 dan 2019 juga mendapati Masjid Heytikah yang berada di wilayah Xinjiang, China sudah berubah wajah; daripada masjid kepada kawasan parkir.

China Musnahkan Kubur Etnik Uighur 3

Sejak 2017, sebanyak 36 buah masjid dan tapak keagamaan dimusnahkan atau kubahnya dialihkan agar tiada identiti Islam di sana. Untuk masjid yang terselamat, jemaah perlu melalui laluan khas pengesan logam dan kawasan masjid yang dipenuhi dengan CCTV.

Isu penindasan etnik ini sering dibicarakan termasuklah dalam kalangan negara besar seperti Amerika Syarikat dan Eropah, namun sehingga kini masih tiada apa-apa tindakan yang dikenakan.

China Musnahkan Kubur Etnik Uighur 2

Terbaharu, melalui imej satelit dan lawatan kawasan di daerah Shayar, Xinjiang mendapati puluhan kubur dimusnahkan dalam tempoh dua tahun dengan tulang-tulang yang dibiarkan bertaburan serta tanah perkuburan yang diratakan.

Apabila ditanyakan pada pihak pengurusan bandar, kata mereka itu adalah langkah biasa yang dilakukan terhadap kubur lama sedangkan ianya adalah sebahagian daripada kempen kerajaan China dalam menghapuskan bukti dan sejarah mengenai etnik minoriti tersebut serta menjadikan mereka seperti kaum Han (penduduk Cina).

Sumber: Sinar Harian

Jom saksikan Rambo: Last Blood di pawagam berdekatan sekarang!

https://www.instagram.com/p/B2Wj8RzFmRs/