pusat beli belah Muslim

Pusat Beli-Belah Himpun Produk Bumiputera Bakal Dibuka Tidak Lama Lagi

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Selepas melancarkan perumahan berkonsepkan islamik, Pengasas Raudhah City Sdn Bhd, Mohd Fadzil Hashim kini sedang meninjau untuk membuka pusat membeli-belah yang akan menghimpunkan produk Bumiputera.

Idea ini sebagai usaha untuk meningkatkan penyertaan usahawan Bumiputera dalam pasaran runcit. Usaha ini juga dilakukan selepas mendapati sektor peruncitan Bumiputera masih belum berkembang kerana tidak dapat menyertai pasaran.

“Bila kami analisis data, ia menunjukkan sebab kita tak boleh pergi jauh adalah kerana kita tiada akses kepada pasaran.

“Kita tiada pusat beli-belah, jadi antara rancangan strategik kami adalah untuk mempunyai pusat beli-belah,” katanya.

pusat beli belah Muslim

Menurut Fadzil, usaha ini bukanlah melibatkan persaingan dengan usahawan kaum lain tetapi mengenai perkembangan usahawan Bumiputera itu sendiri. Komuniti Bumiputera masih ketinggalan dalam sektor ekonomi walaupun sudah mencapai 62 tahun kemerdekaan kerana kurang penglibatan dalam sektor peruncitan.

Tambah Fadzil, pusat membeli-belah yang dinamakan Malakat Mall tidak ada kaitan dengan kempen mengutamakan produk Islam dan Bumiputera yang hangat diperkatakan sekarang kerana pusat beli belah itu sudah lama dirancang sebelum berlakunya kempen utamakan produk Muslim.

Selain itu, Fadzil turut mahu syarikat asing mengurangkan kepentingan dalam pasaran runcit untuk membolehkan lebih ramai usahawan Bumiputera terlibat dalam sektor peruncitan.

Beliau berhasrat untuk menyediakan 20 peratus tempat di pusat membeli-belah itu kepada syarikat bukan Bumiputera atau syarikat asing. Tambahnya lagi, lokasi pusat membeli-belah tersebut bakal dibuka berhampiran Raudhah City di Cyberjaya.

https://www.facebook.com/coachfadzil/posts/10220018637645192

Sumber: Malaysia Kini