bungkus ais

Remaja 15 Tahun Kerja Bungkus Ais Demi Sara 7 Beradik

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Dalam sebuah institusi keluarga, ibu dan ayah berperanan sebagai ‘kepala’ yang mencukupkan keperluan anak-anak. Tidak terhad kepada material, ibu dan bapa juga merupakan individu yang melindungi dan memberikan kasih sayang kepada anak-anak.

Tidak semua orang bernasib baik, ada yang hanya punya salah seorang daripada keduanya, ada juga yang tidak punya keduanya dan ada juga yang ada keduanya tetapi tidak dipedulikan.

Aktivis sosial, Syed Azmi baru-baru ini berkongsikan kisah menyayat hati yang mana seorang remaja 15 tahun terpaksa menggalas tugas sebagai ibu dan bapa menyara adik-beradiknya seramai tujuh orang termasuklah adik beradik tiri dan kandung; beliau sebagai abang sulung.

Ibu bapa remaja tersebut sudah bercerai, ibu berada di tempat lain. Manakala ayah kerja di kawasan jauh, jadi jarang balik. Akhirnya mereka tinggal bersama atuk dan nenek, menggalas kedua tugas sebagai ketua keluarga.

Kerja sekolah yang diberikan guru akan disiapkan di sekolah. Tamat sahaja sesi persekolahan jam tiga petang, remaja yang bakal menduduki peperiksaan PT3 ini akan menguruskan hal adik-adiknya.

Bermula jam lapan malam hingga dua pagi, beliau akan bekerja sebagai pembungkus ais di dalam lori ais selama lima malam seminggu dengan upah RM114 seminggu.

Remaja 15 Tahun Galas Tugas Ibu bapa

Sebelum ini beliau bekerja sebagai penjual tembikai dan tanam pagi. Kerja bungkus ais ini baru dilakukan tiga bulan lepas. Hasil pendapatan beliau digunakan untuk beli barang kelengkapan buat adik-adik dan duit belanja sekolah untuk mereka.

Walaupun baru berusia 15 tahun, remaja ini seorang yang sangat bertanggungjawab. Semasa sekolah adiknya mengadakan solat hajat untuk pelajar UPSR, beliau hadir sekali bagi mendoakan kejayaan adiknya.

Bila ditanya tentang ayah, beliau memberitahu beliau rapat dengan ayahnya cuma kerana ayah jarang balik disebabkan kerja jauh. Tidak kisah dengan hal tersebut, beliau memberitahu Syed Azmi bahawa beliau okey dan masih mampu menjaga adik-adik.

Bila ditanya apa yang boleh dibantu, beliau mohon tiga perkara:

  1. Yuran persekolahan adik-adik bernilai RM810.
  2. Kos baiki telefon bimbit adiknya RM200.
  3. Motor untuk memudahkan urusan adik-adik ke sekolah.

Baru berusia 15 tahun, remaja ini kelihatan matang dari usia sebenar kerana tanggungjawab yang beliau pegang. Jika anda mahu membantu, bolehlah menghubungi Syed Azmi bagi mendapatkan cara menyampaikan bantuan.

Sumber: Syed Azmi