
Pelajar Indonesia Cipta Alat Kesan Mangsa Bencana Tertimbus
Walaupun pelbagai persediaan kita lakukan bagi menghadapi bencana, namun perkara ini hanyalah di luar kemampuan manusia. Jika terperangkap di bawah runtuhan selepas gempa bumi, ia mungkin boleh menyelamatkan nyawa seseorang.
Kerja menyelamatkan mnagsa tertimbus boleh menjadi lebih cepat apabila tiga pelajar universiti Indonesia telah mencipta peranti yang menggunakan isyarat frekuensi tinggi untuk membantu mencari mangsa tertimbus selepas berlakunya bencana alam.
Peranti itu dinamakan Detector of Interconnected Position Points atau Deoterions mengeluarkan isyarat ping dan hanya memerlukan pergerakan paling minimal, termasuk bernafas, yang dapat dikesan sehingga 10km jauhnya.
Penerima isyarat dipasangkan di telefon pintar atau komputer riba, dan berfungsi dengan aplikasi yang tersedia pada sistem Apple dan Android.

Satrio Wiradinata Riady Boer, 23, salah seorang daripada tiga pelajar berkenaan berkata, inovasi itu diilhamkan dari gempa bumi 7.6 magnitud di kampung halamannya di Padang pada 10 tahun lalu, yang mana dia kehilangan seorang kawan dan seorang guru, manakala ibunya pula cedera.
“Jika mangsa berada di bawah runtuhan atau bawah tanah terlalu lama, kaki atau tangan mangsa perlu dipotong, dan bekalan oksigen juga akan habis,” kata Boer.
Dua lagi rakannya ialah Adin Okta Triqadafi dan Muhammad Rikza Maulana. Ketiga-tiga pelajar Universiti Brawijaya itu telah menerima paten untuk prototaip yang berharga AS$7 (RM29.50) itu, tetapi belum bersedia menjualkannya kerana mahu menambah baiknya terlebih dahulu.
“Ini ciptaan yang luar biasa,” kata Ali Ghufron Mukti, pegawai kanan Kementerian Pendidikan, sambil menambah kerajaan akan memberikan geran untuk membantu pelajar-pelajar itu membangunkan inovasi mereka.
Berada di kawasan Lingkaran Api Pasifik, Indonesia sering dilanda gempa bumi yang mana kadang kala cukup kuat untuk runtuh bangunan.
Bencana alam paling dahsyat pernah berlaku pada bulan Disember 2004, apabila gempa bumi 9.5 magnitud mencetuskan tsunami besar yang membunuh kira-kira 226,000 orang di sepanjang garis pantai Lautan Hindi, termasuk lebih dari 126,000 di Indonesia.
Sumber: Reuters
Trending now



