
Pusat Tahfiz Keluarkan Peraturan Tidak Masuk Akal Kini Disiasat
Pusat tahfiz kini menjadi pilihan ibu bapa yang mahukan anak mereka menguasai pendidikan agama dengan lebih mendalam. Semakin banyak pusat tahfiz yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan.
Namun, tidak semua pusat tahfiz ini membangun dengan sebaiknya kerana ada sahaja kontroversi yang terpalit yang membuatkan segelintir pihak mempersoal kredibiliti institusi berkenaan.
Baru-baru ini, seorang pengguna Twitter dengan ID @digitalkai membuat hantaran menggesa Menteri Pendidikan, Maszlee Malik menyiasat mengenai borang persetujuan yang dikatakan tidak masuk akal peraturannya.
Dear Dr. @maszlee,
This screenshot of a pondok school agreement has been circulating recently. The name of the school has been redacted, but a quick search will show that the school in question is Pondok Hidayatul Mubtadi'ien in Kuching.
Please investigate further. Thank you. pic.twitter.com/3hmEyHNDX3
— Une étoile qui meurt, essayant (@digitalkai) August 25, 2019

Borang itu meminta persetujuan ibu bapa terhadap tindakan disiplin sekolah terbabit termasuk dirotan 60 kali di belakang, dibotakkan kepala, disimbah dengan air najis dan dijemur dari selepas Zohor hingga waktu Asar.
Mereka yang enggan meneruskan pengajian pula tidak akan diberikan sijil berhenti sekolah, menurut borang tersebut.
Borang persetujuan yang ditularkan itu mendapat reaksi netizen, rata-ratanya tidak menyangka wujudnya peraturan sedemikian di pusat tahfiz.
Sehubungan itu, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) sedang mendapatkan penjelasan daripada guru besar sebuah sekolah tahfiz yang ditularkan itu berhubung senarai hukuman terhadap pelajar yang melakukan kesalahan yang perlu dipersetujui ibu bapa.
Timbalan Menteri Negeri Abdul Rahman Junaidi, yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam di Sarawak berkata sekolah agama berkenaan didaftarkan di bawah JAIS.
“JAIS telah memanggil guru besar sekolah untuk mendapatkan penjelasan dan polis menyiasat perkara itu.” katanya.
Diharapkan kes ini dapat diselesaikan secepat mungkin. Kejayaan pendidikan anak-anak terletak di tangan ibu bapa. Jadi, ibu bapa sewajarnya carilah pusat tahfiz yang tidak menyalahgunakan tanggungjawab sebagai institusi yang mencerminkan nilai keagamaan.
Sumber: FMT
Trending now



