
Kuala Lumpur Tersenarai Bandar Top 5 Tinggi Bebanan Kerja
Tekanan dalam pekerjaan adalah satu lumrah disebabkan tuntutan persekitaran kerja semasa yang mencabar.
Namun, tekanan berlebihan dan tidak terurus boleh memberi kesan buruk terhadap kesihatan mental dan fizikal individu pekerja tersebut selain menjejaskan produktiviti organisasi. Banyak majikan gagal membantu pekerja mereka mengimbangi kerjaya dan kehidupan peribadi pekerja.
Menerusi kajian yang dilakukan oleh syarikat teknologi, Kisi yang berpangkalan di Amerika Syarikat, ibu negara Malaysia menduduki tempat ke-40 paling rendah dalam kerjaya dan hidup seimbang (work-life balance).

Kajian yang dilakukan merangkumi 40 bandar dengan membandingkan data mengenai intensiti pekerjaan, sokongan institusi, undang-undang dan kesesuaian kehidupan di bandar berdasarkan apa yang ditawarkan melalui keseimbangan kerjaya dan kehidupan kepada penduduknya.
Indeks ini merangkumi 20 faktor yang menentukan 40 bandar metropolis di seluruh dunia ini bukan sahaja mengiktiraf betapa pentingnya keseimbangan kerjaya dan kehidupan, tetapi juga menggalakkannya secara langsung dan tidak langsung melalui dasar dan infrastruktur bandar.

Bandar Helsinki, Munich, dan Oslo mendahului senarai sebagai bandar yang mempromosikan keseimbangan kerjaya dan kehidupan yang paling holistik. Manakala bandar yang mempunyai bebanan kerja berlebihan selain Malaysia ialah Houston, Tokyo, Singapura dan Washington DC.
CEO Kisi, Bernhard Mehl berkata kajian tersebut membuktikan bahawa kita perlu memahami peranan sebenar kita di tempat kerja. Kita sebenarny telah gagal untuk memenuhi aspek sebenar dalam kehidupan- mencari keseimbangan antara kerjaya dan waktu peribadi.
“Kami berharap kajian ini membantu penyelidikan lebih lanjut untuk mengoptimumkan kesejahteraan rakyat bagi mengurangkan tekanan psikologi dan ekonomi di tempat kerja,” jelas Bernhard Mehl.
Beliau menambah kajian itu dibuat bukan sekadar mahu tenaga kerja lebih bahagia dan sihat tetapi mahu lebih berdaya maju dalam jangka masa panjang.
Sumber: Kisi
Trending now



